
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rakyat Malaysia hari ini (28 Sept) dikejutkan dengan khabar duka mengenai pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr Siti Hasmah Ali pada usia 100 tahun.
Tun Dr Siti Hasmah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi.
Jenazah beliau akan dibawa ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan untuk dimandikan sebelum dikebumikan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarhamah akan diberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangannya kepada negara.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tun Dr Siti Hasmah Meninggal Dunia Di IJN Pagi Ini, Hembus Nafas Terakhir Pada Usia 100 Tahun
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah bukan sahaja dirasai Tun Mahathir dan keluarga malah mengundang sebak dan sayu rakyat Malaysia dek kerana jasanya dalam bidang perubatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarhamah.
Di bawah kami kongsikan biodata dan maklumat ringkas tentang Tun Dr Siti Hasmah untuk rujukan anda semua.
Dilahirkan pada 1926, anak keenam daripada 10 beradik
Tun Dr Siti Hasmah atau nama betulnya Hasmah Mohamad Ali dilahirkan pada tahun 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor.
Beliau merupakan anak keenam daripada sepuluh adik-beradik.
Menurut laman Yayasan Kepimpinan Perdana, ayahnya, Hj Mohd Ali, seorang pegawai kerajaan manakala ibunya, Hajah Siti Khatijah bt Ahmad, seorang suri rumah.
Tun Dr Hasmah mendapat pendidikan di Methodist Girls’ School, Kuala Lumpur. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di St Mary’s School dan seterusnya di Pudu English School, tempat beliau memperoleh Sijil Persekolahan.
Selepas Perang Dunia Kedua, Tun Dr Hasmah mendaftar di King Edward VII College of Medicine di Singapura dengan biasiswa.
Beliau merupakan satu-satunya pelajar perempuan Melayu dalam kumpulannya. Di situlah arwah bertemu dengan Tun M yang mendaftar pada tahun yang sama. Hubungan mereka kemudiannya semakin akrab dari hari ke hari sehinggalah Tun Dr Hasmah menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan dan bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk latihan housemanship.
Berkahwin dengan Tun M pada 4 Ogos 1956
Pada 4 Ogos 1956, Tun Dr Hasmah akhirnya disatukan dengan Tun M di Kuala Lumpur. Tun Dr Hasmah kemudian mengikuti Tun M berpindah ke Alor Setar dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.
Ada 7 anak, 3 perempuan dan 4 lelaki
Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir mempunyai tujuh orang anak, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, lapan belas orang cucu dan seorang cicit perempuan.
Semasa berkhidmat sebagai pegawai perubatan, Tun Dr Hasmah aktif dalam kempen kesihatan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan.
Wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan nak Negeri, pejuang kesihatan luar bandar
Beliau yang merupakan antara doktor wanita terawal di Malaysia selepas Tan Sri Dr. Salma binti Ismail banyak menyertai program kesihatan yang disasarkan kepada penduduk luar bandar bagi memastikan kesihatan mereka terjaga.
Kemudian pada tahun 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.
Pada tahun 1974, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.
Beliau juga aktif menulis beberapa artikel mengenai perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan melahirkan anak di Malaysia.
Tun Dr Hasmah telah memegang pelbagai jawatan antaranya seperti:
- Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia
- Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Kedah
- Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia
- Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-kanak Cacat
- Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancang Keluarga Malaysia
- Penaung Persatuan Kesihatan Ibu dan Neonat Malaysia
- Penaung Persatuan Pediatrik Malaysia.
Tun Dr Hasmah menggantikan Tun Suhailah sebagai presiden BAKTI (Kelab Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan aktif berusaha mendidik golongan muda tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
Pada tahun 1985, beliau telah menghadiri Persidangan Wanita Pertama mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington DC atas jemputan Nancy Reagan, dan kemudiannya mewakili Malaysia di Persidangan Antarabangsa di Vienna pada 1987.
Tun Dr Hasmah telah menerima pelbagai penghormatan dan anugerah sebagai penghargaan atas usaha dan inisiatifnya yang tidak pernah putus dalam bidang kesihatan awam, literasi dan kawalan penyalahgunaan dadah.
Dapat gelaran Tun pada 2003
Pada 31 Oktober 2003, Dr Hasmah dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun, bersama-sama Perdana Menteri yang dianugerahkan Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) ketika persaraannya.
Penganugerah tersebut sekaligus menjadikan beliau isteri seorang Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah dianugerahkan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, Tun Dr Hasmah telah menerima Doktor Kehormat daripada institusi luar negara seperti Universiti Indiana, Amerika Syarikat, Universiti Victoria, Kanada, Royal College of Physicians di Dublin, Ireland, dan Universiti Edinburgh, Scotland.
Di Malaysia, Dr Hasmah menerima Doktor Kehormat daripada UKM, UM, USM, IMU, UniMAS, UiTM, UIAM, UUM, UMS dan UPSI dari tahun 1991 hingga 2004 dalam pelbagai bidang Perubatan dan Pendidikan.
Pada tahun 1998, Tun Dr Hasmah menerima Anugerah Kazue McLaren daripada Asia Pacific Consortium for Public Health. Dari tahun 1997 hingga 2012, Tun Dr Hasmah menjadi Canselor Universiti Multimedia di Cyberjaya.
Sebagai seseorang yang berminat dalam kesihatan mental, Tun Dr Hasmah dijemput oleh bekas Wanita Pertama Rosalynn Carter untuk menyertai Jawatankuasa Kebangsaan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia. Tun Dr Hasmah juga merupakan Penaung Persatuan Wanita Pan Pasifik dan Asia Tenggara (PESAWA) Malaysia dan telah menghadiri serta menyampaikan ucaptama di Persidangan Tiga Tahunan di Tokyo (1984), Bangkok (1991) dan Tonga (1994).
Sebagai seorang pegawai perubatan, kemudian isteri Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr Hasmah telah menguruskan kehidupan yang sibuk dan mencabar dengan penuh anggun. Setelah suaminya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah terus memberikan sokongan dan menemani suaminya dalam tugasnya.
Terima Gelaran Negara
Pada 2019, Tun Dr Hasmah telah menerima gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena Hari Wanita Kebangsaan.
Pada majlis Makan Malam Gala tersebut, Pengerusi ASLI dan Pengasas Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah (JCF), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan tidak terhingga Dr Siti Hasmah dalam memberi sokongan penuh kepada Tun M sepanjang beliau memimpin negara.
Malah Tun Dr Siti Hasmah disifatkan sebagai ikon yang memberi inspirasi kepada kita semua untuk meraikan kepelbagaian sebagai sebuah negara yang berbilang budaya, berbilang kaum dan berbilang agama.
Dengan penuh rasa dukacita, kami menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, seorang tokoh wanita yang disegani dan disayangi rakyat Malaysia.
Al-fatihah..

![[VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.28.45-PM-1024x650.jpeg)




