![Image from: [VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.28.45-PM-1024x650.jpeg)
KUALA LUMPUR – “Tahun pertama saya gagal, tetapi dia menawarkan untuk memberi tuisyen percuma.”
Itu antara kenangan yang dikongsikan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mengenai detik awal perkenalannya dengan suami, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mereka sama-sama menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada 1947.
Menerusi satu sesi temu bual sebelum ini bersama pasangan tokoh berkenaan, Allahyarham mengakui, kenangan paling diingatinya ialah ketika beliau gagal dalam peperiksaan pada tahun pertama pengajian kerana tidak memahami subjek Health Science.
“Lepas setahun baru saya dapat kenal lebih lagilah. Saya gagal tahun pertama, gagal pun sebab saya tak tahu (subjek) Health Science (Sains Kesihatan).
“Lepas gagal, ada orang nak tolong, baik hati jadi tutor. Nak bagi tuisyen. Dia pula distinction kid (pelajar cemerlang). Saya terima jelah tuisyen free of charge, FOC (percuma),” kongsinya.
Sementara itu, Dr. Mahathir memaklumkan perkenalannya bersama Allahyarahm bermula apabila mereka menjadi pelajar baharu di kolej berkenaan dan sering berdepan gangguan daripada pelajar senior.
“Jadi saya berjumpa dengan Tun (Tun Siti Hasmah) pun pada tahun itulah. Kedua-dua kita jadi ‘freshie’. ‘Freshie’ ini selalu diganggu oleh senior.
“Jadi kita bersama pada masa itu, baru saya jumpa dengan Tun,” katanya.
Bercerita lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, hubungan mereka pada zaman muda tidak bermula dengan kemesraan luar biasa, sebaliknya lebih kepada saling membantu sebagai rakan seperjuangan.
Katanya, ketika itu hanya terdapat tujuh pelajar Melayu di kolej berkenaan dan hanya seorang daripadanya wanita.
“Semua berhubung nak tolong angkat buku. Bila nak pergi lecture (kelas), nak bawa buku, masing-masing berebutlah nak bawa buku (Tun Siti Hasmah) sebab nak berkawan.
“Saya pun berebutlah. Tapi kadang-kadang saya menang. Dia suka tanya pasal fizik terutama. Saya tolong dia bagi tuisyen sikit,” katanya.
Bagaimanapun, setelah masing-masing bersetuju dan telah diijabkabulkan pada 4 Ogos 1956 lalu, akhirnya Tun Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir beliau di Institut Jantung Negara pagi tadi, sekali gus meninggalkan Dr. Mahathir seorang diri setelah tujuh dekad bersama sebagai suami isteri.
Tun Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah appeared first on Kosmo Online.






