
Setiap wartawan hiburan yang masuk ke dunia kewartawanan hiburan di antara awal tahun 2000 sehingga kini, nama pena HUZZ bukan asing. Umpama satu ‘dosa’ jika ada wartawan hiburan yang bertanya ‘siapa HUZZ’?
HUZZ, sosok wartawan hiburan dengan rambut ikal, bertubuh gempal, lemah lembut dan tinggi budi bahasa adalah seorang wartawan veteran dan legenda yang selalu menjadi rujukan dan kadang-kala menimbulkan rasa cuak kerana auranya sebagai wartawan hebat.
HUZZ dan majalah URTV dari Utusan Melayu / Utusan Karya sangat sinonim. Jauh sebelum itu, HUZZ sudah mencetak banyak sejarah dan kejayaan saat berkhidmat dengan majalah Media Hiburan misalnya.
HUZZ dan barisan artis baik sehebat Ramlah Ram, Sofea Jane, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Misha Omar, Mawi, Haiza atau pendatang baharu dunia seni ibarat lagu dengan irama.
Keakraban, gaduh-manja, nasihat serta bertuah kerana pernah cerita atau berita ditulis HUZZ, juga ada karya seperti lagu dihasilkan beliau kini hanya tinggal kenangan.
Tidak ada yang akan terulang kerana HUZZ atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini Kamaludin telah berpulang ke Rahmatullah pada 8 Jun 2024 pukul 6.10 petang di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
HUZZ menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun kerana kanser usus tahap empat.
BERITA TRENDING: Wartawan Hiburan Popular, Huzz Meninggal Dunia
Huzz asyik tersenyum
Bunga-Bunga Cinta
“Lagu Bunga-Bunga Cinta itu HUZZ yang pilih. Zaman dulu, syarikat rakaman akan cari wartawan untuk dengar dan pilih lagu yang akan dipasarkan.
“Jadi BMG hantar demo lagu Bunga-Bunga Cinta. Waktu itu HUZZ minta mereka letak 10 kali lagu Bunga-Bunga Cinta dalam kaset supaya tak perlu putar (rewind) banyak kali.
“HUZZ minta mereka pilih lagu Bunga-Bunga Cinta (jadi single),”katanya tersenyum lagi tentang lagu ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan dan memenangi Anugerah Lagu ke-18 tersebut.

