
SHAH ALAM, 2 JULAI: Hasrat jururawat membeli ayam pada harga promosi RM5 berakhir dengan kerugian RM6,770 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian, semalam.
Wanita berusia 49 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bau, Kuching pada jam 4.11 petang selepas mendapati wang dalam akaun banknya dipindahkan tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Skio, Bau.
Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan jualan murah ayam di Facebook sebelum menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat pembelian.
"Mangsa kemudian diminta membuat pembayaran RM5 menerusi pautan yang diberikan, namun gagal berbuat demikian sebelum diarahkan memuat turun aplikasi dan membuat pembayaran secara manual menggunakan kaedah tunai semasa penghantaran (COD)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata mangsa mengikut semua arahan yang diberikan termasuk memuat turun aplikasi berkenaan serta mengemas kini tetapan COD bagi melengkapkan proses pembelian.
Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej daripada sebuah bank yang memaklumkan akaunnya disekat sementara.
Selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang berjumlah RM6,770 dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun bank lain atas nama seorang lelaki.
Mangsa juga tidak menerima ayam yang ditempah, manakala segala usaha menghubungi semula nombor telefon suspek gagal apabila tiada sebarang maklum balas diterima.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mangsa yang mengetahui peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) turut menghubungi talian 997 pada hari sama bagi membuat aduan berhubung kejadian itu," katanya.





