
Tindakan seorang peniaga yang kenakan syarat kepada pelanggan sebelum dibenarkan untuk membeli minyak masak peket yang tular baru-baru ini membawa padah apabila dia dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Syarat yang ditetapkan peniaga premis yang dikatakan di Perak berkenaan terbongkar susulan ia dilaporkan pengguna di platform X.

Susulan itu, dua pegawai KPDN kemudian telah ke premis yang dimaksudkan bagi menyiasat dakwaan tersebut dengan salah seorang daripada mereka menyamar sebagai pembeli.
Video penyamaran tersebut turut dikongsikan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh baru-baru ini di aplikasi TikTok yang merakamkan pegawai memasuki premis runcit berkenaan sebelum bertanya kepada peniaga sama ada dia boleh membeli dua peket minyak masak atau tidak.
@aspirasifuziahsalleh Kan Kak Gee dah pesan, jualan bersyarat adalah satu kesalahan! Masih ada lagi peniaga yang tidak ambil berat pasal penetapan jualan bersyarat. Ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab kalau disabit kesalahan. Kat Perak, Kak Gee ada terima satu aduan berkenaan jualan bersyarat ni. Kak Gee gerakkan pegawai KPDN ke sana terus untuk periksa. Laporkan sebarang aduan salah laku dan penyelewengan kepada KPDN melalui saluran-saluran yang betul ya. #fuziahsalleh #mediafuziahsalleh #malaysiamadani #kpdnbekerja ♬ original sound – Fuziah Salleh
Ternyata, dakwaan pengguna di X tersebut benar apabila peniaga mengatakan pelanggan hanya dibenarkan membeli dua peket minyak masak dengan syarat, perlu membeli satu barangan lain.
Sekiranya tidak membeli barangan lain, pelanggan hanya boleh membeli sepeket, menurut peniaga berkenaan.
Jawapan peniaga tersebut secara tak langsung membuatkan pegawai merampas minyak peket daripada premis berkenaan selain saman dikeluarkan serta merta.
Mengjengah ke ruangan komen, tindakan KPDN tersebut mendapat pujian ramai atas tindakan yang tegas dan pantas selain ada yang menyarankan agar tinjauan dilakukan lebih banyak kerana terdapat banyak kedai yang mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Dalam masa yang sama, tidak kurang juga yang mengadu kegiatan serupa dikenakan pengusaha premis di kawasan masing-masing.
Terdahulu, Fuziah memaklumkan, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menetapkan syarat pembelian ke atas barangan kawalan seperti minyak masak peket dan gula.
Artikel berkaitan : “Laris dijual dalam talian” – KPDN Sita Produk ‘Salted Egg Salmon Skin’, Guna Logo Halal Tak Sah
Artikel berkaitan : Peniaga Bukit Bintang Caj ‘Burger Biasa’ RM10 Pada ‘Foreigner’, Netizen Gesa KPDN Ambil Tindakan
Tambahnya lagi, pihak kementerian tidak akan berkompromi terutama bagi mereka yang melakukan kesalahan yang berulang dan jelasnya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda RM 1 juta hingga RM 5 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, orang ramai diminta melaporkan sebarang penyelewengan kepada KPDN melalui saluran yang betul.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


