
SHAH ALAM, 9 OKT: Kepesatan pembelian dalam talian tidak memberi kesan buruk terhadap pusat beli-belah lantaran orang ramai lebih mencari pengalaman yang tidak disediakan pelantar digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls Selangor, Jason Chin percaya mereka mencari pengalaman fizikal yang unik antaranya kemeriahan menjamu selera, keasyikan hiburan dan layanan mesra.
“Penglibatan sosial sebegini pengalaman yang tidak boleh ditiru pelantar digital. Dengan menyusun suasana dinamik berteras gaya hidup, kami terus menarik pengunjung bernilai tinggi.
"Ini seterusnya mengukuhkan prestasi peruncit kami dan memupuk kesetiaan pelanggan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata fungsi pusat beli-belah berkembang sepanjang dekad lalu, dari model "beli-dan-pergi" kepada gaya hidup yang dibina di sekeliling pengguna, hubungan dan kemesraan layanan.
Katanya, pusat beli-belah fizikal ada kelebihan menawarkan pengalaman lima deria pengguna iaitu penglihatan, bau, pendengaran, rasa dan sentuhan yang tidak dapat ditiru dalam talian.
Ketua bahagian peruncitan Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) pula berkata pusat itu belah menawarkan interaksi sesama manusia, hiburan, hubungan sosial dan kepuasan serta-merta.
Marcus Chew memberitahu faktor acara dan jenama produk juga penting, malah pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menyentuh, mencuba atau mengayakan sesuatu produk.
"Pusat beli-belah bukan hanya ruang niaga. Ia tempat keluarga meluangkan masa, rakan-rakan bertemu, pengunjung menjamu selera, anak-anak bermain dan orang ramai berkumpul," katanya.
Justeru, beliau yakin orang ramai tidak hilang minat terhadap pembelian fizikal, tetapi mereka lebih selektif tentang bila dan mengapa mereka perlu mengunjungi pusat beli-belah.
Turut senada, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yakin premis fizikal ada kelebihan ekoran pelanggan boleh merasai pengalaman meneliti, menyentuh dan mengacu produk sebelum membeli.
“Ini penting bagi produk dan perkhidmatan tertentu di mana pelanggan mahukan (kepastian) sebelum membuat pembelian. Di samping itu, ada elemen kemanusiaan,” kata Chin Chee Seong.
Beliau menjelaskan interaksi secara berdepan juga membantu PKS memahami keperluan pelanggan, membina hubungan jangka panjang dan memberi perkhidmatan secara serta-merta.
“Saya tidak nampak peruncitan fizikal akan lenyap. Peranan kedai fizikal mungkin berubah, tetapi ia akan terus menjadi penting bagi pelbagai jenis perniagaan,” katanya.
