Belia 21–30 tahun paling ramai jadi mangsa jenayah telekomunikasi: Polis

21 Dec 2025 • 2:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Belia berusia 21 hingga 30 tahun didapati sebagai kumpulan paling ramai terjerat jenayah telekomunikasi tahun ini, dengan 8,789 mangsa direkodkan antara Januari hingga November.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, sepanjang tempoh itu sebanyak 28,698 kes dilaporkan di seluruh negara, melibatkan kerugian mencecah RM715 juta.

Golongan berusia 31 hingga 40 tahun mencatat mangsa kedua tertinggi iaitu 6,825 orang, diikuti kumpulan 41 hingga 50 tahun dengan 4,977 mangsa.

Sebanyak 3,382 individu berusia 51 hingga 60 tahun turut menjadi mangsa, manakala 2,763 kes melibatkan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Bagi kumpulan remaja 15 hingga 20 tahun, sebanyak 1,962 mangsa direkodkan.

“Situasi ini membuktikan jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur. Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan,” kata JSJK dalam kenyataan di Facebook hari ini.

JSJK menegaskan, mangsa boleh membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, melakukan semakan melalui portal Semak Mule, selain melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut. - 21 Disember, 2025

The post Belia 21–30 tahun paling ramai jadi mangsa jenayah telekomunikasi: Polis appeared first on Scoop.