
Kota Kinabalu: Golongan belia perlu digalakkan untuk membangunkan gaya komunikasi mereka sendiri dan tidak sekadar mengikut teknik pengucapan awam konvensional, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik Grace Lee Li Mei.
Beliau berkatapendekatan itu penting bagi membantu golongan belia membina keyakinan diri, selain memahami identiti, pengalaman dan kekuatan mereka sebagai komunikator.
“Golongan belia perlu menguasai kemahiran komunikasi supaya dapat menyampaikan idea, pemikiran dan pandangan dengan berkesan, khususnya apabila mereka memasuki alam pekerjaan dan memikul peranan kepimpinan.
“Komunikasi berkesan merupakan kemahiran hidup penting yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk temu duga pekerjaan, mempromosikan produk dan perkhidmatan serta berinteraksi dengan masyarakat.
“Tanpa kemahiran komunikasi yang baik, mereka mungkin tidak dapat menyampaikan atau menjelaskan dengan tepat perkara yang mahu difahami dan dihayati oleh masyarakat atau khalayak,” katanya.
Grace berkata demikian pada program ‘Youths in Communication 2.0’, yang merupakan Program Teraju Muda 2026 peringkat Parlimen Penampang di Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), di sini, baru-baru ini.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kota Kinabalu Toastmasters Club (KKTMC), UCSF dan Rakan Muda.
Program dimulakan dengan pengenalan oleh pengacara majlis, diikuti sesi suai kenal bagi membolehkan peserta berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain sebelum bengkel utama.
Penceramah dari Kota Kinabalu Toastmasters Club (KKTMC) Adi Ariff Anwar Putera kemudiannya mengendalikan sesi bertajuk “An Integrated Communicator: Finding Your Voice Through Experience, Identity and Self-Expression.”Grace berkata inisiatif itu bertujuan melengkapkan golongan belia dengan kemahiran komunikasi praktikal, selain menggalakkan mereka menemukan gaya komunikasi yang berkesan dan mencerminkan diri mereka sendiri.
“Sepanjang bengkel, peserta belia digalakkan meneliti pelbagai peranan, minat dan pengalaman yang membentuk identiti mereka serta mempertimbangkan bagaimana perkara itu boleh diterapkan dalam gaya komunikasi masing-masing.
“Sesi itu turut menekankan bahawa untuk menjadi komunikator yang lebih baik, peserta tidak semestinya perlu mengubah personaliti mereka. Sebaliknya, mereka digalakkan mengenal pasti dan memanfaatkan kekuatan yang telah dibangunkan melalui pengajian, pekerjaan, hobi dan pengalaman hidup.
“Justeru, saya memuji program ini kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari dan membangunkan kemahiran yang betul bagi berkomunikasi dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata kemahiran komunikasi akan menjadi semakin penting apabila golongan belia mengembangkan kerjaya dan memikul tanggungjawab lebih besar, termasuk sebagai ahli perniagaan atau ahli politik.
“Memiliki kemahiran komunikasi yang baik adalah penting ketika mereka bekerja dan juga apabila mereka akhirnya menjadi ahli politik atau ahli perniagaan,” katanya.
Grace berkata program 2.0 itu memberi peluang kepada peserta meneroka aspek komunikasi, keyakinan diri dan ekspresi diri yang tulen menerusi bengkel praktikal.
Beliau berkata, inisiatif seperti itu amat bernilai dalam membantu golongan muda meningkatkan keyakinan untuk menyuarakan pandangan sambil kekal menjadi diri sendiri.
