
Tuaran: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa generasi muda Islam di negeri ini agar menjadikan semangat hijrah sebagai budaya hidup dengan memperkukuhkan ilmu pengetahuan, kemahiran, sahsiah dan jati diri demi melahirkan generasi berwibawa.
Beliau berkata golongan muda merupakan aset penting yang bakal menentukan masa depan masyarakat, negeri dan negara.
“Kemajuan teknologi digital perlu dimanfaatkan secara bijak bagi tujuan pembelajaran, pembangunan kemahiran, keusahawanan, penyebaran ilmu serta meningkatkan taraf hidup.
“Bagaimanapun pada masa sama generasi muda perlu mengelakkan penyalahgunaan teknologi, penyebaran berita palsu, buli siber dan gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Generasi muda juga perlu memiliki daya tahan tinggi, berani menghadapi cabaran dan sentiasa berusaha memperbaiki diri kerana dengan ilmu, akhlak serta semangat hijrah yang kukuh, mereka mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Abdul Kassim Razali.
Dalam pada itu Hajiji berkata sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi medan untuk menghayati pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang membentuk masyarakat bersatu, progresif, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Menurut beliau nilai seperti perancangan, pengorbanan, kesabaran, keberanian dan keyakinan kepada Allah SWT perlu terus diamalkan manakala sikap negatif perlu ditinggalkan.
Sementara itu Hajiji turut mengajak masyarakat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah tahun ini sebagai titik permulaan untuk memperbaharui azam dengan berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada kejahilan kepada ilmu serta daripada sikap tidak peduli kepada rasa tanggungjawab.
Hajiji juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat menjadi pemangkin ke arah membangunkan ummah yang sejahtera, inklusif dan berakhlak selain meminta rakyat Sabah terus mengekalkan kestabilan serta menolak sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian negeri.

