Belia Malaysia, Indonesia jalin kerjasama pacu ekonomi kreatif

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 8:44 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Belia Malaysia, Indonesia jalin kerjasama pacu ekonomi kreatif

KUALA LUMPUR – Golongan belia Malaysia dan Indonesia bakal diberi ruang lebih luas untuk meneroka peluang ekonomi kreatif di peringkat ASEAN dan global menerusi kerjasama strategik antara Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) dan Gerakan Ekonomi Kreatif Nasional (GeKrafs) Indonesia.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir.

Majlis yang berlangsung di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini semalam turut menjadi platform untuk membentuk ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun bagi anak muda, khususnya dalam membuka peluang ekonomi merentasi sempadan.

Presiden MBWP, Khairul Rizam Abu Samah berkata, kerjasama berkenaan penting bagi menghubungkan bakat muda kedua-dua negara dengan peluang perniagaan, pelaburan dan pasaran baharu dalam sektor ekonomi kreatif.

“Kerjasama ini bukan hanya berkaitan pertukaran idea, tetapi membuka ruang kepada anak muda untuk membina jaringan, mengembangkan produk kreatif dan seterusnya menembusi pasaran ASEAN serta global,” katanya.

Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan keusahawanan menerusi penyediaan program inkubasi, latihan teknikal, pemecutan perniagaan serta sokongan profesional kepada pengamal industri kreatif muda.

Kerjasama berkenaan juga bakal merangkumi bidang perdagangan, teknologi dan digitalisasi, inovasi, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memperkukuh jaringan pemain industri di rantau ASEAN.

Antara agenda yang dirancang termasuk Ekraf Talk, Mini Expo dan Business Matching Ekonomi Kreatif Indonesia-Malaysia yang menyediakan ruang kepada penggiat industri untuk membina hubungan perniagaan serta meneroka peluang pelaburan dan pasaran.

Lebih penting, kerjasama Malaysia-Indonesia itu berpotensi menjadi asas kepada pembentukan jaringan ekonomi kreatif belia yang lebih luas di ASEAN, sekali gus membuka laluan kepada generasi muda untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan kreatif ke pasaran antarabangsa.-KOSMO! ONLINE

The post Belia Malaysia, Indonesia jalin kerjasama pacu ekonomi kreatif appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved