“Bella Ajak Saya Teman Dia Tidur” – Mangsa Pukul Di Johor Tampil Cerita Punca Kejadian [Video]

LocalFamily & Parenting
23 Apr 2025 • 12:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai kes seorang pemuda dibelasah sehingga longlai oleh sekumpulan lelaki di Johor.

Menerusi beberapa klip video ketika kejadian, kelihatan lelaki-lelaki terbabit menumbuk dan menendang bahagian badan, muka serta kemaluan mangsa.

Rakaman-rakaman berkenaan yang tular di media sosial juga telah mendapat perhatian ramai, di mana kebanyakan netizen mengecam perbuatan sekumpulan lelaki itu yang disifatkan mereka sebagai berlagak samseng.

Difahamkan, kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita telah berjaya dicekup polis.

Mangsa tampil cerita punca kejadian berlaku

Terbaharu, mangsa yang dikenali sebagai Faris akhirnya tampil menceritakan punca kejadian tersebut semasa dihubungi melalui panggilan video oleh penyanyi rap, Caprice.

Difahamkan, gara-gara terlalu mempercayai seorang gadis bernama Bella yang baru dikenali di TikTok telah membawa kepada insiden dia dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah rumah.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram Caprice, Faris berkata kejadian bermula selepas Bella mengajak untuk menemaninya tidur di rumah wanita itu di Plentong.

Termakan ajakan gadis baru dikenali untuk teman tidur di rumah

Menurutnya, dia menerima ajakan itu melalui aplikasi perbualan, WhatsApp pada petang Jumaat lalu (18 April) selepas Bella mendakwa dirinya tidak sihat.

“Pada mulanya saya beri alasan tiada duit untuk isi minyak petrol, namun dia (Bella) cakap tak apa nanti dia beri duit.

“Apabila sampai di rumah itu, Bella turun ambil saya dekat bawah dan bawa naik. Apabila saya baru hendak buka kasut, tiba-tiba datang dua hingga tiga orang masuk melalui pintu depan rumah.

“Motifnya saya tidak tahu, tapi selepas saya kena pukul, mereka ‘pau’ (minta) saya duit RM3,000, saya tak ada duit masa itu, saya beri RM600, selebihnya mereka ambil motosikal (Yamaha Y16) saya,” katanya.

Jangan mudah percaya individu yang baru dikenali di media sosial

Susulan itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli telah menasihati mangsa serta orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali di media sosial.

Caprice juga menyatakan bahawa panggilan video itu dilakukan untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa mangsa yang dipukul masih lagi hidup tidak seperti apa yang didakwa sesetengah pihak bahawa inidvidu terbabit telah meninggal dunia.

“Kalau siapa-siapa cuba mengorat atau siapa-siapa ajak jumpa hati-hatilah, walaupun kita lelaki dapat makan ‘free’, saya ‘call’ supaya masyarakat tahu kau masih hidup dan inilah punca berlakunya,” katanya.

5 suspek yang ditahan miliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, tujuh lelaki dan seorang wanita dikenali Bella berusia 19 hingga 26 tahun telah ditahan pada pukul 2.30 pagi kelmarin (21 April).

Jelas Mohd. Sohaimi, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 21 hingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan mendapati, lima daripada suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dipetik Kosmo.

Menurutnya lagi, hasil siasatan juga mendapati mangsa ke rumah pangsapuri itu atas jemputan seorang wanita yang dikenali menerusi media sosial.

“Setelah sampai, mangsa telah dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh sekumpulan lapan individu tempatan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka pada bibir, telinga kiri serta bengkak badan,” ujarnya.

Source: