
KISAH persahabatan yang perlahan-lahan bertukar menjadi hubungan istimewa sering mencuri perhatian ramai.
Begitulah yang berlaku kepada Bella Astillah dan Syed Saddiq apabila keakraban mereka sejak setahun lalu kini semakin kuat diperkatakan.
Lebih menarik, beberapa ‘hint’ daripada rakan selebriti dan tokoh terkenal membuatkan peminat mula berteka-teki sama ada pasangan yang sering digelar 'BASS' itu bakal berkongsi khabar gembira tidak lama lagi.
Perbualan mengenai perkara itu mula hangat selepas beberapa selebriti seakan memberi bayangan mengenai sebuah majlis istimewa yang dikatakan berlangsung pada 28 Mac, dengan tema warna kuning.
Antara yang mencuri perhatian ialah pelakon dan usahawan Ben Ali yang meninggalkan komen ringkas tetapi penuh teka-teki di media sosial.
“Tak sabarnya nak tunggu seminggu selepas raya,” tulisnya.
Komen tersebut segera mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang cuba meneka maksud sebenar di sebalik kenyataan itu.

Malah, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim turut secara berseloroh bertanyakan mengenai kad jemputan dalam sebuah majlis baru-baru ini, sekali gus menambahkan lagi misteri mengenai acara yang diperkatakan.
“Saya tak dapat jemputan lagi,” tanya Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, pelakon terkenal Fazura turut berkongsi bahawa dia memiliki sehelai busana berwarna kuning yang bakal dipakai ke sebuah majlis penting bagi meraikan seorang rakan.
“Saya ada satu baju warna kuning. Nantikan di mana saya akan pakai baju itu.
"Ia untuk majlis yang sangat bermakna bagi meraikan kawan saya,” katanya, tanpa mendedahkan secara jelas majlis yang dimaksudkan.
Bayangan demi bayangan ini membuatkan netizen semakin rancak menyusun teka-teki.
Lebih menguatkan lagi spekulasi apabila ada pengguna media sosial mendakwa abang kepada Syed Saddiq yang dikenali sebagai Space Dollah turut berkongsi dalam sesi siaran langsung bahawa dia sedang mencari pakaian berwarna kuning untuk menghadiri satu acara besar pada tarikh yang sama.

Perkongsian tangkap layar yang dimuat naik seorang pengguna Threads turut mempercepatkan penyebaran cerita tersebut sehingga menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat.
Untuk rekod, Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna. Pasangan tersebut bagaimanapun berpisah pada Jun 2024.
Sejak itu, kehidupan Bella sering mendapat perhatian peminat, terutama apabila dia dilihat semakin rapat dengan Syed Saddiq.
Hubungan mereka mula menjadi perhatian apabila kedua-duanya digandingkan sebagai duta sebuah jenama pakaian tahun lalu.
Keserasian yang ditunjukkan ketika kempen promosi bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi bersama pelbagai jenama lain.
Menariknya, keakraban itu bukan sekadar di hadapan kamera.
Iron lady
Beberapa perkongsian di media sosial memperlihatkan momen kebersamaan mereka, termasuk ketika Syed Saddiq meraikan ulang tahun kelahiran Bella bersama dua anak penyanyi tersebut.
Dalam hantaran itu, ahli politik berkenaan turut menyifatkan Bella sebagai “Iron Lady”, satu gelaran yang menyentuh hati ramai peminat kerana menggambarkan kekuatan penyanyi itu menghadapi pelbagai ujian hidup.
Komen-komen daripada rakan selebriti selepas perkongsian tersebut juga seakan menguatkan lagi andaian bahawa sesuatu yang istimewa sedang dirancang.

Namun begitu, seperti lazimnya dalam dunia hiburan, spekulasi yang berlegar belum tentu mencerminkan perkara sebenar.
Ada juga yang berpendapat majlis yang dimaksudkan mungkin sekadar rumah terbuka Aidilfitri atau acara peribadi lain.
Apa pun hakikatnya, peminat kini hanya mampu menunggu sehingga tarikh yang disebut-sebut tiba.
Jika benar ada berita besar yang bakal diumumkan, pastinya pasangan ini sendiri yang akan berkongsi cerita sebenar kepada umum.
Sementara itu, teka-teki mengenai warna kuning dan tarikh 28 Mac terus menjadi topik hangat di media sosial, membuatkan ramai tidak sabar menanti apakah kejutan sebenar di sebalik semua ‘hint’ yang diberikan.
Jika benar majlis yang dimaksudkan melibatkan Bella dan Syed Saddiq, ia pastinya menjadi khabar yang menggembirakan buat ramai yang mengikuti perjalanan hubungan mereka sejak awal-awal perkenalan mereka.


