PENGERANG – Kebakaran belukar melibatkan kawasan lalang dan tanah gambut di Jalan Bypass Punggai di sini sejak Isnin lalu memusnahkan kawasan seluas kira-kira 29.445 hektar.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I ( PBK I) Sabri Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.08 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai ke lokasi.
Jelas beliau, setibanya pasukan di lokasi didapati kebakaran melibatkan lalang serta api gambut dengan keluasan awal kira-kira 8.09 hektar.
Menurutnya, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan tiada laluan masuk ke kawasan kebakaran selain ketiadaan sumber air berhampiran.
“Pada waktu malam, operasi pemadaman tidak dapat dilaksanakan kerana faktor keselamatan termasuk penglihatan yang terhad serta keadaan hutan tebal yang berisiko kepada anggota,” katanya.
Jelasnya, sehingga jam 6 petang pada 10 Mac, kebakaran dilaporkan merebak sehingga melibatkan keluasan keseluruhan 29.445 hektar.
Bagaimanapun, pihak bomba berjaya memadamkan kira-kira 4.4175 hektar atau 15 peratus daripada kawasan terjejas ketika itu menggunakan satu aliran hos sepanjang 600 kaki, dua pancutan serta kaedah breaching dengan sumber air terbuka menggunakan pam jenis Tohatsu.
"Setakat jam 7 pagi pada 11 Mac, peratus kebakaran yang berjaya dipadamkan meningkat kepada 16 peratus bersamaan 4.71 hektar.
"Operasi pemadaman kemudian dipertingkatkan dengan penggunaan satu aliran hos sepanjang 1,100 kaki, dua breaching serta empat pancutan selain kaedah relay pumping menggunakan dua pam angkut dari sumber air terbuka berhampiran," ujarnya.
Beliau berkata, secara keseluruhan sehingga kini kira-kira 5.89 hektar atau 20 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, manakala baki kawasan yang masih terbakar dianggarkan seluas 23.555 hektar.
Operasi pemadaman masih diteruskan dengan kekuatan 10 anggota dari BBP Punggai dan BBP Sebana Cove menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Triton
.


