Kebakaran hutan 37 ekar di Puncak Jalil dipadam sepenuhnya

LocalEnvironment
12 Mar 2026 • 9:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi awal mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan bukit dengan anggaran keluasan kira-kira tiga ekar.

SHAH ALAM – Kebakaran hutan bukit berkeluasan kira-kira 37 ekar di kawasan Puncak Jalil, Seri Kembangan dipadam sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada awal pagi Khamis.

Kejadian yang berlaku di kawasan PUJ 9/27E, Taman Puncak Jalil itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan struktur.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.12 petang Rabu.

Menurutnya, jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian untuk memulakan operasi pemadaman.

"Operasi awal mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan bukit dengan anggaran keluasan kira-kira tiga ekar.

"Bagaimanapun api terus merebak dan keluasan kawasan terjejas meningkat kepada kira-kira lima ekar berdasarkan laporan kemas kini pada jam 9 malam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera selain bantuan peralatan pemukul api (firebeater).

Menurutnya, beberapa balai bomba turut digerakkan membantu operasi berkenaan iaitu BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.

"Pada jam 11.25 malam, operasi pemadaman dibahagikan kepada enam sektor utama dan anggota berjaya memadamkan kebakaran di semua sektor berkenaan.

"Hanya kebakaran kecil di bahagian puncak bukit masih berbaki dengan kira-kira lima peratus kawasan yang belum dipadam sepenuhnya,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, unit dron turut digerakkan ke lokasi bagi membantu pemantauan kawasan yang sukar diakses anggota di bahagian puncak bukit.

Menurutnya, hasil usaha berterusan anggota bomba, kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada awal pagi.

"Komander operasi melaporkan kebakaran hutan berkeluasan kira-kira 37 ekar berjaya dipadam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.48 pagi.

"Pemantauan susulan akan dilakukan di lokasi pada keesokan hari bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan seramai 27 anggota bomba dengan bantuan beberapa jentera daripada balai terlibat.