
KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Madrid masih belum menerima pengesahan sama ada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden perlanggaran kereta api berkelajuan tinggi berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol, pada Rabu, yang mengorbankan 64 orang setakat ini.
Kementerian Luar berkata, kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang terlibat atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terjejas dalam insiden ini diminta menghubungi Kedutaan bagi membantu proses pengesahan dan penyelarasan bantuan konsular,’’ katanya.
Kedutaan, kata Kementerian Luar akan terus memantau keadaan dan memaklumkan perkembangan lanjut apabila maklumat telah disahkan.
Terdahulu, Reuters melaporkan angka korban akibat kemalangan berkenaan meningkat kepada 64 orang, dengan 80 yang lain mengalami kecederaan. Perlanggaran itu dilaporkan berlaku kira-kira 9.00 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di perbandaran Urda yang terletak kira-kira 130 kilometer di selatan Madrid.
Ketika kejadian, kira-kira 500 penumpang berada di dalam kereta api berkenaan, demikian menurut jurucakap kerajaan di wilayah berkenaan. Ia disifatkan sebagai nahas kereta api yang terburuk di negara berkenaan sejak 2013.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api yang terjejas, dinasihatkan supaya menyemak perkembangan terkini perkhidmatan secara langsung dengan pengendali masing-masing dan membuat pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu.
Kementerian Luar turut menggalakkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid menerusi talian kecemasan 24 jam di +34 659 894 943 atau talian pertanyaan am di +34 91 555 0684 dan +34 91 555 0737.
Kedutaan juga boleh dihubungi melalui e-mel di mwmadrid@kln.gov.my.
Kementerian Luar memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan dengan rapat dan memberikan maklumat terkini sekiranya perlu. - 28 Oktober, 2026
The post Belum ada pengesahan rakyat Malaysia terlibat kemalangan kereta api di Sepanyol appeared first on Scoop.





