
MELAKA – Kerajaan Nepal sedang berusaha meminda undang-undang negara itu bagi mempercepat pengeluaran sijil kematian kepada 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas banjir dan tanah runtuh pada Ogos lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, undang-undang sedia ada Nepal menetapkan tempoh hingga tiga tahun sebelum sijil kematian boleh dikeluarkan bagi individu yang gagal dikesan selepas sesuatu bencana.
Kata beliau, perkara itu dimaklumkan kepada beliau ketika wakil Kedutaan Nepal mengadakan kunjungan ke pejabatnya minggu lalu.
“Kerajaan Nepal sedang berusaha dan akan membentangkan pindaan undang-undang ini di Parlimen mereka.
“Sekurang-kurangnya jika tidak dapat dipinda, mereka akan membuat peruntukan khas bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan segera kepada 54 rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi,” katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional kali ke-10 Sesi 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata sijil itu penting bagi membolehkan keluarga mangsa mengurus perkara berkaitan, termasuk urusan dengan bank dan syarikat insurans.
Pada 26 Ogos lalu, banjir kilat dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa di Nepal serta kawasan sempadan Nepal–Tibet susulan hujan lebat yang menjejaskan infrastruktur dan komunikasi serta menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas bencana itu telah selamat pulang ke tanah air pada 2 Oktober lalu menjadikan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi.
Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia sedang menunggu keputusan mesyuarat Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.
Katanya, hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan, namun usaha memadam kebakaran berdepan cabaran akibat lokasi yang jauh di pedalaman dan jerebu tebal.
“Jarak penglihatan tidak sampai 50 meter, manakala Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan Kalimantan mencecah 1,000,” katanya.
Beliau berkata Malaysia akan mengambil kira aspek keselamatan sebelum memutuskan sebarang bentuk bantuan udara dan tidak akan mengarahkan juruterbang menjalankan operasi sekiranya keadaan membahayakan mereka.
Mengulas perkembangan di Itali dan Perancis, Mohamad menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke kedua-dua negara itu supaya menjauhi kawasan demonstrasi dan lokasi tumpuan perusuh.
Beliau berkata setakat ini, tiada sekatan perjalanan dikenakan ke kedua-dua negara berkenaan, namun rakyat Malaysia disarankan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi nasihat keselamatan pihak berkuasa tempatan.- Bernama
The post Nepal usaha pinda undang-undang percepat sijil kematian 54 rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Online.






