Belum boleh bagi wang ringgit, Daren mahu segera banggakan ibu

28 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Belum boleh bagi wang ringgit, Daren mahu segera banggakan ibu

AKTIVITI merentas desa di sekolah menjadi langkah pertama buat Daren James Nair dalam acara larian jarak jauh.

Daripada sekadar mengejar garisan penamat di sekolah, dia kini bergelar Olahragawan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026.

Anak jati Ipoh, Perak berusia 24 tahun itu mencipta sensasi apabila berjaya meraih tiga pingat emas, selain memecahkan tiga rekod kejohanan dalam acara 5,000 meter (m), 10,000m dan 3,000m lari berhalangan.

Dalam acara 5,000m, Daren berjaya mencatat masa 15:16.42, 10,000m (33:04.02) dan 3,000m (9:37.39).

Lebih manis, kira-kira dua jam sebelum majlis penutup SUKIPT yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Daren telah diminta supaya segera hadir ke dewan untuk dinobatkan sebagai olahragawan kejohanan tersebut.

“Saya rasa seperti bermimpi kerana berita itu saya terima kira-kira dua jam sebelum majlis berlangsung.

“Saya pernah menang tiga emas dan berjaya mencatatkan tiga rekod kejohanan sebelum ini, namun tidak mendapat gelaran olahragawan, jadi kali ini saya anggap memang rezeki,” katanya membuka bicara bersama K-Kampus.

Image from: Belum boleh bagi wang ringgit, Daren mahu segera banggakan ibu
Daren menyertai tiga acara di balapan iaitu 5,000 meter, 10,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan.

Bagaimanapun, pencapaian itu tidak hadir dalam sekelip mata kerana segala-galanya bermula daripada minat ketika merentas desa semasa zaman persekolahan.

“Jika ditanya, memang tiada sebab saya suka berlari. Tetapi melalui acara merentas desa, saya mula mengenali larian dan mendapat kawan baharu.

“Dari situ, saya mula aktif menyertai pertandingan di peringkat daerah, dan semakin serius dalam olahraga,” katanya.

Cerita jejaka tinggi lampai yang mesra disapa Daren itu, tahun 2017 iaitu ketika di tingkatan tiga menjadi titik penting apabila dia mula membina perjalanan sebagai pelari bersama jurulatihnya, M. Arul Thevar.

Hasil bimbingan Arul, Daren mula mendapat peluang mewakili negeri dan bersaing dengan pelari-pelari terkemuka.

Pada tahun 2019, pencapaian dalam acara 1,500m di peringkat sekolah menengah turut membuatkan Daren semakin yakin untuk mengejar potensi dalam arena olahraga.

Tahun 2022 membuka pintu lebih besar kepada Daren apabila dia mula mencipta nama menerusi beberapa kejohanan, sebelum diberi peluang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

ASEAN University Games (AUG 2022) di Thailand menjadi detik yang tidak mungkin dilupakan kerana Daren berjaya memenangi pingat emas acara 3,000m lari berhalangan dalam penampilan pertama di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terharu apabila lagu Negaraku dimainkan kerana itu kali pertama saya mewakili Malaysia.

“Bagi saya, itu antara kemenangan besar pertama dalam perjalanan saya sebagai atlet,” ujar pemegang diploma dalam jurusan Enforcement Management dari Newton International College Kuala Lumpur itu.

Image from: Belum boleh bagi wang ringgit, Daren mahu segera banggakan ibu
Arul (kanan) merupakan individu penting dalam kejayaan Daren.

Selepas itu, Daren terus mengumpul pengalaman di pentas lebih besar seperti Sukan Malaysia dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Namun, perjalanan sebagai seorang pelajar dan atlet menuntut Daren untuk membahagikan masa antara latihan, kuliah serta tugasan.

Katanya, dari Isnin hingga Sabtu, dia akan terlibat dengan latihan, di mana setiap sesi mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.

Daren memaklumkan, ada hari-hari tertentu, dia menjalani dua sesi latihan, manakala Ahad menjadi ruang untuk dia merehatkan fizikal dan mental.

“Cabaran utama adalah membahagikan masa antara latihan dan tugasan kerana selepas latihan memang penat.

“Saya tidak akan tangguhkan tugasan dan bawa pulang ke rumah atau asrama kerana tidak mahu bebanan itu meleret serta bertambah,” ujarnya yang kini berada di semester keenam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pengajian Media) di HELP University.

Berkongsi lanjut, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan kerana sasaran seterusnya adalah AUG 2026 di Malaysia pada Disember ini.

Fokus utama Daren adalah dalam acara 5,000m selepas dia berjaya melepasi masa kelayakan. Dalam acara itu, Daren menyasarkan untuk mencatatan masa di bawah 15 minit.

“Bagi 3,000m lari berhalangan, penyertaan saya masih samar. Namun jika diberi peluang, saya mahu menyertai kedua-dua acara tersebut.

“Selepas AUG nanti, tumpuan akan beralih kepada Sukan SEA 2027 dengan acara 5,000m kekal menjadi sasaran utama untuk kembali membawa nama negara,” katanya.

Di sebalik setiap pingat dan rekod dipecahkan, Daren tidak pernah melupakan figura yang menjadi sumber kekuatan utama iaitu ibunya, Ram Jeyanthi Nair.

Sebagai ibu tunggal, wanita cekal itu turut memainkan peranan sebagai bapa dalam kehidupan mereka.

“Ibu banyak berkorban untuk saya dan adik-adik, termasuk dari segi masa, kewangan, kasih sayang dan sokongan.

“Saya belum bekerja untuk membalasnya dengan wang ringgit. Namun, saya mahu membanggakan ibu apabila orang mengetahui saya merupakan salah seorang anaknya,” katanya.

Selain ibu, Arul menjadi individu penting yang membentuk Daren daripada seorang pelari sekolah hingga mampu melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi Daren, pengorbanan jurulatihnya itu bukan sekadar meluangkan masa di trek kerana dia turut mencurahkan tenaga dan bimbingan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Jurulatih tidak pernah berputus asa dengan saya. Selama bertahun-tahun, dia tidak pernah mengambil satu sen pun daripada saya. Dia melakukannya kerana minat dan rasa cinta terhadap sukan serta mahu melahirkan lebih ramai atlet berjaya,” katanya.

Justeru, Daren menganggap gelaran Olahragawan SUKIPT sebagai hadiah terbaik untuk ibu dan jurulatih yang sentiasa berdiri di belakangnya selama ini.

Sementara itu, Daren memaklumkan, dia akan terus berusaha memberi yang terbaik, dan selagi masih berpeluang mewakili negara, dia akan berusaha bersungguh-sungguh.

Ujarnya, bukan mudah untuk dipilih mewakili negara daripada jutaan rakyat Malaysia, jadi setiap peluang yang datang perlu dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya.

Sebelum mengakhiri bicara, Daren menitipkan pesan kepada atlet muda supaya tidak mudah mengalah.

Katanya, tidak siapa tahu sejauh mana sukan mampu mengubah kehidupan seseorang dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

“Saya sendiri tidak pernah menjangka boleh sampai ke tahap ini. Kalau saya berhenti pada awal perjalanan dahulu, mungkin semua pencapaian ini tidak akan pernah saya raih.

“Jadi, jangan mengalah kerana hasil kerja keras kita mungkin hanya dapat dilihat selepas bertahun-tahun berjuang,” ujarnya.

The post Belum boleh bagi wang ringgit, Daren mahu segera banggakan ibu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved