Belum cerai, isteri didakwa kahwin lagi dengan lelaki Pakistan

15 Feb 2026 • 3:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki melaporkan isterinya berkahwin dengan lelaki warga Pakistan sedangkan mereka masih berstatus suami isteri. Foto hiasan

KOTA BHARU - Seorang lelaki membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada Rabu lalu selepas mendakwa isterinya telah berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih sah sebagai suami isteri.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi pada Ahad.

“Kita ada menerima laporan yang dibuat lelaki terbabit.

“Pihak Jabatan Agama akan mengambil tindakan lanjut,” katanya ringkas.

Isu itu terbongkar selepas lelaki berusia lingkungan 40-an hadir ke pejabat agama di Bachok untuk mengambil surat cerai pada Selasa lalu.

Semasa berada di pejabat berkenaan, dia dimaklumkan oleh pegawai bertugas bahawa bekas isterinya mempunyai dua suami iaitu dirinya dan seorang lelaki warga Pakistan.

Pasangan itu dilaporkan bercerai pada 14 Januari lalu, sedangkan isterinya didakwa telah berkahwin dengan lelaki warga Pakistan pada Disember tahun lalu.