Belum Dapat Lesen Operasi, Taska Terkait Kes Dera Bayi Ditutup Serta-Merta

16 May 2023 • 6:11 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Taska yang dipercayai terkait dengan kes tular dera dua orang bayi telah diarahkan tutup operasi serta-merta selepas pemeriksaan mendapatinya tidak mempunyai lesen yang sah.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua cawangan taska swasta itu iaitu di Jalan Abd Samad dan Gelang Patah juga ditutup, lapor Buletin TV3.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On telah datang meninjau taska terbabit dan mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu dengan pengusaha taska.

Dah pernah nasihat tetapi pengusaha degil

Taska tersebut didapati belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan bomba.

“Jika belum dapat kebenaran daripada ketiga-tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini, kita sudah nasihat supaya tidak beroperasi tanpa lesen tetapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi,” katanya.

Ketiga-tiga cawangan taska itu diarah tutup serta-merta oleh JKM negeri mengikut Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Menurutnya, pengusaha taska itu telah memohon lesen pada awal tahun ini dan beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada tempat yang dihantar mempunyai lesen menjaga kanak-kanak.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.