
BUKIT JALIL: Masih baharu dalam industri muzik, kumpulan K.O.I mengakui tidak mampu menyediakan persembahan dengan kos yang tinggi untuk pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Sebaliknya, menurut wakil kumpulan itu, Mya Nana, mereka sepakat memilih menghasilkan sendiri prop persembahan yang dihasilkan secara manual.
Kata Mya, bagi memastikan persembahan mereka tetap mampu disampaikan mengikut konsep yang dirancang, kelima-lima mereka sanggup berganding bahu menghasilkan pelbagai prop secara DIY, termasuk 200,000 keping kertas yang mengandungi mesej kemanusiaan untuk ditebarkan memenuhi ruang Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini semalam.
“Sebagai kumpulan yang masih baharu, kami bukan nak cakap kami tidak ada duit, tetapi kami lebih kepada nak buat sendiri mana yang boleh dibuat secara DIY. Daripada segi susunan muzik, landskap, kru dan sebagainya, semuanya dibantu oleh kawan-kawan di belakang.
“Semalam, kertas yang kami tebarkan dari atas pentas itu pun kami potong sendiri. Jumlahnya mencecah 200,000 keping. Empat hari juga kami buat benda itu,” katanya ketika ditemui selepas persembahan AJL40 semalam.
Berkongsi mengenai gelaran juara yang disandang di pentas AJL40, K.O.I menjadikan persembahan mereka sebagai medium untuk menyampaikan mesej kemanusiaan kepada penonton.
Mya Nana berkata, setiap elemen persembahan itu dirancang dengan tujuan mendekatkan mereka kepada penonton, termasuk pemilihan busana berwarna bumi serta gerakan penari yang menggambarkan kesengsaraan dan dugaan yang dihadapi golongan ditindas.
“Maksud lagu ini ramai yang dah tahu, tetapi kami letakkan konsep untuk AJL40 ini lebih meluas dan universal. Kami ingin dekat dengan penonton. Sebab itu kami pakai baju warna ini.
“Penari-penari kami pula melakukan gerakan yang menggambarkan kesengsaraan, banyak dugaan untuk anak-anak dan orang-orang yang ditindas. Konsep ini kami serahkan kepada interpretasi penonton sendiri. Apa yang kami sampaikan adalah untuk seluruh dunia,” katanya.
Lagu Tiwikarma mendapat sentuhan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.
Kemenangan menerusi lagu tersebut membolehkan kumpulan ini membawa pulang trofi AJL serta wang tunai berjumlah RM100,000 selepas menewaskan sembilan lagi finalis dalam saingan kemuncak anugerah muzik berprestij itu.
Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno yang membawakan lagu Tak Adil sambil menyaksikan penyanyi ini membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM50,000.
Manakala tempat ketiga pula disandang Reynauld Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika yang meraih wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi.
Sementara itu, Anugerah Vokal Terbaik dimenangi Marsha Milan meraih wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi manakala Persembahan Terbaik menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Kamu juga membawa pulang RM12,000 serta trofi.
The post Belum mampu sedia kos tinggi, kami gunting sendiri 200,000 kertas bermesej itu – K.O.I appeared first on Utusan Malaysia.





