
PENDANG - Berita mengenai pemergian anggota tentera, Sarjan Faridah Abd. Rahman, 39, di Lubnan semalam, diterima ahli keluarganya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Mati, Mukim Tobiar di sini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menghantar arwah ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambung tugasnya di Lubnan.
Menurut suaminya, Noor Azmi Ariffin, 39, berita itu nyata mengejutkan kerana isterinya tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit sebelum ini.
"Selepas sebulan Faridah berada di tanah air kerana bercuti, saya bersama anak-anak menghantar isteri ke KLIA untuk menaiki penerbangan ke Lubnan Jumaat lalu, bagi meneruskan tugasnya di sana.
"Sesudah menghantarnya di KLIA, saya singgah di rumah abang terlebih dulu, sebelum bertolak ke Kedah. Namun belum sempat kami tiba di rumah, saya menerima panggilan menyatakan isteri meninggal dunia di Lubnan," katanya ketika dihubungi Getaran.
Noor Azmi yang juga bekas anggota tentera menambah, setakat ini dia dan keluarga belum tahu bila jenazah isterinya akan dibawa pulang kerana banyak prosedur yang perlu dilalui di sana.
"Kami memiliki empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun. Anak ketiga kami merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
"Mereka sudah mengetahui mengenai pemergian ibu tetapi buat anak yang msih kecil itu, dia mungkin masih belum memahami. Setakat ini kami merancang untuk mengebumikan arwah di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Tualang dekat sini," katanya, tenang.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Risikan Dan Komunikasi Strategik Pertahanan petang tadi, Allahyarham yang merupakan seorang Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Malaysian Battallion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), disahkan meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia, semalam.
Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, dilaporkan rebah tiba-tiba setelah turun dari bas di kem tersebut.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian. - Getaran, 19 Mei 2024.


