
Majlis perasmian bermaksud upacara bagi meraikan permulaan sesuatu perkara yang rasmi dan disahkan oleh orang yang berwibawa. Biasanya seperti perasmian kempen-kempen atau kemudahan.
Terbaru, sebuah video tular di TikTok yang memaparkan sebuah upacara perasmian mesin ATM di sebuah kedai stesen minyak.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku di Besut, Terengganu dan individu yang merasmikan mesin tersebut ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Perkara itu menarik perhatian ramai netizen, ramai yang mempertikaikan serta merasakan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan ia hanyalah mesin ATM dan bukanlah sesuatu yang baru.

“Memang nampak biasa, tapi…”
Pun begitu, selepas video berkenaan dimuat naik semula di Twitter, ramai yang mengatakan ia sesuatu yang biasa di kawasan pedalaman.
Malah, ia sangat membantu penduduk tempatan memandangkan fasiliti tersebut terletak jauh dari perumahan mereka dan ia biasanya terletak di bandar yang boleh mengambil masa 30-60 minit perjalanan.

Ramai juga netizen yang mengingatkan agar tidak memandang rendah dengan kemudahan di kawasan kampung kerana ia sudah pastinya berbeza dengan kemudahan di pusat bandar.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



