
SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri mengorak langkah berani untuk menghalang ancaman penjajahan Kecerdasan Buatan (AI) menerusi pengukuhan kemahiran tenaga kerja dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan AI membuka pelbagai peluang baharu, namun pada masa sama berpotensi menjejaskan sebahagian pekerjaan.
Katanya, misi keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memfokuskan pembangunan modal insan produktif dan inklusif itu penting bagi memastikan rakyat Selangor mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta kekal berdaya saing.

"Di Selangor, kita mahu mengelak 'AI Imperialism' di mana hanya satu atau dua negara yang mempunyai kemahiran dalam bidang baharu sementara rakyat lain menjadi penyumbang kepada sistem feudal baharu ini.
"Keadaan ini mendesak Kerajaan Negeri untuk lebih aktif mencari ruang serta peluang berasaskan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
"Ini kerana perubahan pesat teknologi dan ekonomi, budaya tangkas serta kemampuan beradaptasi amat penting supaya jurang pendapatan dalam kalangan rakyat tidak melebar," katanya ketika membentang RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara, menerusi misi keempat juga, Kerajaan Negeri akan memperkemas kerangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).
"Langkah itu akan dilaksanakan menerusi cadangan Pemerbadanan TVET bagi mengelakkan pertindihan tawaran latihan di pasaran serta memastikan sistem TVET negeri memenuhi keperluan industri," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata peranan universiti akan dipertingkat menerusi penubuhanMajlis Jaringan Universiti Selangor (SUNC) merangkumi institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Langkah berkenaan turut merangkumi usaha merealisasikan hasrat Universiti Selangor (UNISEL) untuk beralih sepenuhnya sebagai Universiti Industri yang sepadan dengan keperluan pasaran semasa dan masa depan," katanya.
RS-2 merupakan kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif.
Amirudin berkata rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang antara daerah serta meningkatkan kualiti hidup rakyat berteraskan kehidupan wajar dan bermaruah.





