
PERMATANG PAUH: Pembangunan modal insan akan diperkukuh melalui peningkatan kemahiran dan latihan bagi memastikan lebih ramai rakyat mampu merebut peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, seiring usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 yang menjadi platform kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan kemahiran, menambah ilmu baharu dan memperkukuh daya saing dalam pasaran pekerjaan.
”Pembangunan kemahiran bukan lagi pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan bagi memastikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.
”Sesungguhnya aset paling penting bagi sesebuah negara bukanlah sumber asli tetapi sumber manusianya. Jadi, jika Malaysia mahu mencapai kejayaan lebih besar, rakyat perlu sentiasa diberi peluang untuk meningkatkan serta mempelajari kemahiran baharu agar kekal relevan dengan keperluan ekonomi semasa dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak NTW 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
NTW 2026 berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Permatang Pauh.
Ramanan berkata, NTW bukan sekadar program latihan, malah menjadi peluang kepada golongan muda, pekerja, suri rumah, pesara dan semua rakyat yang mahu membina masa depan lebih baik menerusi konsep upskilling dan reskilling.
”Jika Malaysia mahu terus mencipta kemakmuran untuk rakyat, negara perlu proaktif memastikan rakyat sentiasa berpeluang meningkatkan kemahiran yang dimiliki supaya mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan NTW tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri, majikan, industri, penyedia latihan, institusi pendidikan, media serta masyarakat.
Katanya, peranan HRD Corp. amat penting dalam memperkukuh pembangunan bakat negara dan memastikan dana levi latihan diurus secara berintegriti dan memberi manfaat kepada tenaga kerja.
“Di Pulau Pinang sahaja, lebih 8,000 majikan berdaftar dengan HRD Corp. melibatkan 445,792 pekerja manakala kutipan levi latihan bagi separuh pertama tahun ini mencecah RM129.72 juta.
”Daripada jumlah itu, sebanyak RM113.74 juta telah disalurkan semula bagi tujuan peningkatan kemahiran tenaga kerja di negeri ini dengan 125,398 latihan berjaya dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh tadbir urus HRD Corp. juga berjaya memulihkan RM437.3 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menerusi langkah optimisasi dan pemulihan portfolio.
Tambah Ramanan, setiap sen levi yang diamanahkan oleh majikan perlu diurus secara telus kerana kepercayaan merupakan asas utama dalam memastikan lebih banyak peluang pembangunan kemahiran dapat diwujudkan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. – UTUSAN
The post NTW 2026 buka peluang rakyat tingkat kemahiran appeared first on Utusan Malaysia.






