‘Bengkel Ini Untuk Semua’, Eng Chin Bangun Ruang Automotif Berbilang Bangsa

LocalBusiness & Finance
29 Dec 2025 • 2:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

BANGI - Deruman enjin dan perbualan pelanggan daripada pelbagai latar belakang menghiasi sebuah bengkel automotif di Bandar Seri Putra di sini.

Dikenali sebagai Car Com Tyres Auto Services, ia bukan sekadar bengkel automotif, tetapi medan penyatuan penggemar jentera empat roda tanpa mengira bangsa dan agama. 

Pengasas Car Com, Saw Eng Chin, 49, ketika ditemui berkata, bengkel berbilang bangsa bukan sekadar slogan pemasaran, sebaliknya lahir daripada pengalaman hidup yang membentuk jati dirinya sejak kecil.

“Saya dari kecil dah belajar satu perkara, hidup ini kena saling membantu. Bila kita susah, kita akan lebih faham orang lain yang sedang susah,” katanya.

image is not available
Saw Eng Chin

Dilahirkan di Segambut, Kuala Lumpur dan dibesarkan dalam keluarga sederhana, Eng Chin mula bekerja seawal usianya lapan tahun di sebuah kedai tayar dan hanya menerima makanan sebagai upah.

“Dulu memang macam itu. Nak hidup, kena pandai berdikari. Dari kecil dah diajar untuk survive,” katanya.

Selepas tamat Tingkatan Lima, Saw Eng Chin terus bekerja di pelbagai sektor termasuk kilang balak, kedai makan dan sebagai penghantar barangan. 

Pada masa sama, beliau membantu ibunya yang bekerja sebagai pengasuh demi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya memang tak ada buang masa. Lepas sekolah terus kerja. Itu saja cara untuk teruskan hidup masa itu,” ujarnya.

Minat terhadap dunia automotif menjadi titik tolak kepada cita-citanya membuka bengkel sendiri. 

image is not available

Bermula dengan menyewa tapak kecil untuk kerja pendawaian dan penyaman udara, langkah itu diteruskan di kedai aksesori kereta bagi menimba pengalaman berniaga.

“Saya belajar semua benda sikit-sikit. Apa yang tak tahu, saya tanya. Yang penting, jangan cepat putus asa,” katanya.

Eng Chin memberitahu, impian membuka bengkel sendiri akhirnya berjaya direalisasikan pada 2006, menerusi penubuhan Car Com bersama dua lagi rakan.

Bermula sederhana dengan premis pertama di Bandar Seri Putra, perniagaan itu kini berkembang kepada tiga cawangan dengan lebih 20 orang pekerja daripada pelbagai kaum.

Namun bagi Eng Chin, kejayaan sebenar bukan sekadar pertumbuhan perniagaan, sebaliknya nilai kemanusiaan yang dibina bersama pekerja dan pelanggan.

“Saya nak bengkel ini jadi tempat orang datang tanpa rasa takut. Tak kira bangsa, tak kira agama. Kita layan semua sama,” tegasnya.

Prinsip itu jelas diterjemahkan menerusi cara mereka beroperasi, termasuk penetapan harga yang berpatutan dan layanan penuh mesra untuk pelanggan..

“Kalau pelanggan susah, kita bantu setakat yang kita mampu. Jangan susahkan orang. Rezeki itu akan datang dengan cara lain,” katanya.

image is not available

Keikhlasan itu terserlah ketika pandemik COVID-19 apabila beliau membantu seorang pelanggan yang kehilangan pekerjaan dengan membaiki keretanya secara percuma serta memberikan wang saku.

“Masa itu dia betul-betul jatuh. Saya tengok keadaan dia, saya kasihan. Orang susah, kita kena tolong. Tapi hati kena ikhlas,” katanya.

Dalam merancang masa depan perniagaan, Eng Chin bagaimanapun memilih untuk tidak mewariskan bengkel kepada anak-anaknya, sebaliknya kepada pekerja pertamanya yang dianggap seperti adik-beradik sendiri.

“Saya jaga lebih 20 keluarga melalui bengkel ini. Jadi orang yang sambung legasi kena ada tanggungjawab, bukan fikir keuntungan semata-mata.

“Bengkel ini bukan sekadar tempat baiki kereta. Saya nak ia jadi tempat orang rasa diterima, tanpa mengira siapa mereka,” katanya. - Getaran, 29 Disember 2025