Dalam kalangan peminta kereta berprestasi tinggi, Lexus LFA sering kali dinobatkan sebagai kereta dengan bunyi enjin yang paling eksotik. Deruman enjin 4.8 L V10 ialah halwa telinga bagi peminat automotif dengan bunyinya yang dihasilkan oleh sistem ekzos yang ditala oleh Yamaha. Sejak dilancarkan pada tahun 2009, ia kenderaan yang merugikan Toyota tetapi statusnya sebagai simfoni opera dengan empat roda masih belum mampu dipintas kenderaan eksotik lain.

Hari ini legasi LFA diteruskan selepas Lexus LFA Concept diperlihatkan secara rasmi. Tiada lagi enjin V10 yang menggegarkan tulang kerana ia digantikan dengan tren kuasa elektrik sepenuhnya yang dipadakan dengan pek bateri. Ia dibangunkan dengan tiga tumpuan utama iaitu pusat graviti rendah, ringan dan mempunyai tubuh yang kukuh.

Rangka LFA Concept diperbuat sepenuhnya daripada bahan aluminium dengan tubuh pula mengekalkan rekaan coupe. Tiada lagi keperluan untuk ekzos maka tiga lampu di belakang dalam susunan tiga segi dikekalkan bagi mengekalkan rekaan asal LFA yang dikenali ramai.
Bahagian dalam kabin pula minimalis dengan stereng dari jenis yoke dan kluster instrumen kesemuanya di bahagian pemandu tanpa skrin tengah untuk sistem info hibur.

Lexus LFA Concept masih sekadar konsep maka tiada maklumat mengenai jumlah motor, kapasiti bateri, sasaran prestasi dan juga jarak perjalanan yang boleh dilakukan.

