
KUALA LUMPUR – Sebuah bengkel, dua stor dan dua rumah musnah dalam kebakaran berhampiran tempat letak kereta MRT Jinjang, Pintasan Segambut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.18 tengah hari itu, sebuah kereta Proton Wira turut terbakar 100 peratus selepas api merebak di dalam bengkel berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian sistem NG999 sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi, TPgB II Letchumanan Mariappen melaporkan setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 1.22 tengah hari, kebakaran didapati melibatkan sebuah bengkel, dua stor dan dua rumah.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Menjalara, BBP Gombak Selatan, BBP Hang Tuah dan BBP Bandar Tun Razak.
Katanya, operasi turut menggunakan empat jentera FRT, sebuah ALP dan dua kenderaan tangki air dengan kekuatan keseluruhan 35 anggota pelbagai pangkat.
“Bengkel, stor dan rumah tersebut didapati merupakan penempatan haram.
“Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bengkel, kereta dan dua rumah musnah terbakar appeared first on Kosmo Online.





