
DUNGUN – Sebanyak 11 buah kenderaan dipercayai sebahagian besarnya milik pelancong terbakar di kawasan letak kereta Jeti Awam Pulau Tenggol, Jalan Rajawali, di sini, hari ini.
Kebakaran pada pukul 12.14 tengah hari itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan, Mitsubishi ASX musnah kira-kira 90 peratus.
Sembilan buah kenderaan lain iaitu dua buah kereta Perodua Myvi dan masing-masing satu Proton Saga; Nissan Almera; Honda Civic; Toyota Corolla Cross; Volkswagen Polo; Perodua Ativa dan Proton S70, pula terbakar kira-kira satu peratus.
Difahamkan, sebahagian besar kenderaan terjejas milik pelawat yang mengunjungi ke Pulau Tenggol, dekat sini dengan menaiki bot dari jeti berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Yahaya Hanafi berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran tersebut pada pukul 12.14 tengah hari.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 18 minit bagi mengawal api daripada merebak sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.15 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 11 kenderaan pengunjung Pulau Tenggol terbakar di jeti appeared first on Kosmo Online.






