Bengkel SERI 2023 anjuran PKPP UPM cungkil bakat pelapis martabat seni tari Melayu

14 Jun 2023 • 10:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bengkel SERI 2023 anjuran PKPP UPM cungkil bakat pelapis martabat seni tari Melayu

zulfadli

14/06/2023 - 10:41

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menganjurkan Program Bengkel Seni Tari Melayu 2023 (SERI) yang telah menjadi platform kepada peserta memartabatkan seni tari Melayu khasnya.

SERI yang bertemakan Semarak Tari Sepanjang Zaman telah menghimpunkan seramai 150 penggemar serta penggiat seni tari tanpa mengira bangsa untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan memelihara warisan seni tradisi.

Fasilitator Kursus Seni Tari Melayu QKB2101 Kumpulan 2, Firdaus Ahmad Sukaimi berkata, objektif program ini adalah untuk memupuk pelapis seni tari Melayu bagi mengekalkan serta memelihara warisan seni tradisi kepada generasi akan datang.

Katanya, perkongsian ilmu tari Melayu itu diketuai rakan kerjasama utama iaitu Koreografer dan pemilik artistik Nyala Dance Theatre, Khairulazhar Mohtar.

"Kebanyakan peserta merupakan amatur dalam seni tari tetapi di akhir program mereka berjaya untuk melakukan persembahan dengan baik walaupun hanya dua hari sahaja bengkel ini diadakan.

"Saya amat teruja melihat peserta cilik berusia 10 tahun yang begitu semangat menyertai bengkel ini bahkan terdapat juga warga emas yang berbangsa Cina turut serta kerana minat mereka untuk mempelajari seni tarian melayu khasnya," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sebanyak empat slot telah dijalankan sepanjang bengkel berlangsung, termasuk bengkel asas tari zapin, tari joget, tari inang dan pendedahan koreografi melayu mengikut kumpulan.

image is not available

Pengarah program, Ellysa Farhana Ozaidi yang juga pelajar tahun pertama Bacelor Sains Perhutanan UPM berkata, dia amat berpuas hati apabila berjaya mencapai objektif program dengan melestarikan budaya seni tari warisan Melayu setelah melihat peserta begitu bersungguh menyertai bengkel ini.

Sementara itu, peserta warga emas, Koo Soo Ming, 64, berkata, minatnya yang mendalam untuk mempelajari tarian zapin membuatkannya begitu bersemangat dan teruja untuk menyertai bengkel ini.

image is not available

image is not available

"Joget dan inang memang sudah saya pelajari asasnya. Maka, saya ingin mempelajari ilmu tarian zapin dan berhasrat untuk mengajar kawan-kawan berbangsa Cina saya yang lain.

"Saya juga membawa beberapa rakan yang lain untuk bergaul sekali bersama golongan muda untuk mempelajari kesenian budaya Melayu," katanya. - DagangNews.com