
Perkhemahan merupakan salah satu aktiviti yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pelajar.
Menerusi aktiviti itu, mereka bukan sahaja berpeluang keluar daripada rutin persekolahan, malah diajar untuk mengurus diri, bekerjasama dan menyelesaikan masalah dalam suasana lebih mencabar.
Menyedari kepentingan pengalaman itu, seramai 101 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu telah menyertai
Kursus Kenegaraan Malaysia Madani menerusi Program Perkhemahan Beruniform di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Besut baru-baru ini.
Program dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia itu menjadi platform untuk pelajar membina keyakinan diri, selain mengasah kemahiran kepimpinan, berdikari dan bekerja dalam pasukan.
Lebih penting, pengalaman tersebut memberi pendedahan awal kepada pelajar tingkatan enam, sebelum mereka melangkah ke alam universiti dan dunia pekerjaan yang memerlukan tahap disiplin serta pengurusan diri lebih tinggi.
Meskipun perkhemahan merupakan aktiviti yang diadakan setiap tahun dan kebanyakan pelajar sudah biasa menyertainya, namun program itu mempunyai kelainan apabila penyertaan dikhususkan kepada pelajar prauniversiti.
Pengetua SMK Nasiruddin Shah, Tengku Jailani Tengku Awang berkata, pendekatan itu memberi peluang kepada pihak sekolah merancang aktiviti yang lebih dekat dengan keperluan pelajar iaitu golongan bakal meninggalkan alam persekolahan.
Katanya, mereka bukan sekadar memerlukan aktiviti untuk membina semangat berpasukan, sebaliknya harus didedahkan dengan pengalaman yang dapat meningkatkan keyakinan dan kematangan.
“Memang sebelum ini pelajar kita sudah biasa dengan aktiviti perkhemahan, tetapi kali ini kita mahu pengalaman itu lebih bermakna kerana semua peserta terdiri daripada tingkatan enam.
“Pada usia dan fasa ini, mereka perlu belajar membuat keputusan sendiri, menyelesaikan masalah dan berani mengambil tanggungjawab tanpa terlalu bergantung kepada guru,” katanya.
Menurutnya, penglibatan secara aktif dalam aktiviti sepanjang perkhemahan memberi ruang kepada pelajar menguji kebolehan diri dalam situasi sebenar.
“Mereka perlu berbincang, membahagikan tugas dan menentukan tindakan apabila berdepan sesuatu cabaran.
“Daripada situ, kita dapat melihat mereka belajar untuk memimpin, dan pada masa sama menerima pandangan serta bekerjasama dengan rakan,” katanya.

Azmiruddin berkata, pengalaman itu diharap dapat menjadi bekalan kepada pelajar apabila mereka melangkah ke peringkat universiti kelak.
“Apabila berada di universiti, mereka perlu lebih berdikari dan mengurus kehidupan sendiri.
“Jadi, kita mahu mereka pulang daripada program ini dengan lebih yakin, matang dan bersedia berdepan persekitaran baharu,” katanya.
Sementara itu, Guru Kokurikulum SMK Nasiruddin Shah, Azmiruddin Hassan berkata, pengalaman mengikuti perkhemahan dapat membantu membentuk pelajar yang lebih yakin ketika berhadapan dengan orang lain.
Katanya, pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu mempunyai kemahiran komunikasi dan sosial kerana mereka akan bertemu dengan rakan daripada pelbagai latar belakang.
“Di universiti nanti, mereka tidak lagi berada dalam persekitaran yang sama seperti di sekolah.
“Mereka perlu mengurus masa, tugasan dan kehidupan sendiri, selain berkomunikasi dengan pensyarah serta rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, perkhemahan menjadi satu bentuk latihan awal untuk pelajar membiasakan diri dengan keadaan tersebut.
“Walaupun aktiviti ini berlangsung dalam tempoh singkat, namun banyak perkara yang boleh dipelajari.
“Mereka belajar menepati masa, menjaga disiplin, mengurus keperluan diri dan memastikan tugasan kumpulan dapat dilaksanakan,” katanya.
Bagi salah seorang peserta, Muhammad Adam Hakim Ahmad Bakri Zamin, 19, program berkenaan memberi pengalaman yang berbeza kerana dia berpeluang melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan di luar persekitaran sekolah.
Katanya, pengalaman tersebut mengajar lebih yakin ketika berkomunikasi dan tidak takut untuk memberi pandangan ketika dalam kumpulan.
“Pada awalnya, mungkin ada yang kurang yakin untuk bercakap atau mengambil peranan dalam kumpulan.
“Namun, apabila semua perlu terlibat dalam aktiviti, kami menjadi lebih berani dan mula memahami kekuatan masing-masing,” katanya.
Adam memaklumkan, antara perkara yang paling bermakna sepanjang program itu adalah kepentingan bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Menurutnya, sesetengah tugasan tidak dapat diselesaikan dengan hanya bergantung kepada seorang individu.
“Kami perlu berbincang dan mendengar pandangan rakan sebelum membuat keputusan.
“Daripada situ, saya belajar bahawa apabila berdepan masalah, kita perlu tenang, berbincang dan mencari penyelesaian yang terbaik bersama-sama,” katanya.
The post Bentuk keyakinan pelajar melalui perkhemahan appeared first on Kosmo Online.


