Beraksi demi maruah negara

LocalFootball
6 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beraksi demi maruah negara

PETALING JAYA: Pemain Harimau Malaya perlu mengutamakan maruah negara setiap kali menyarung jersi kebangsaan, bukannya dibayangi tekanan untuk memenuhi tuntutan keputusan sehingga menjejaskan persembahan di atas padang.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setiap pemain yang mewakili negara membawa tanggungjawab besar kerana mereka mempertahankan panji-panji Malaysia di pentas antarabangsa.

“Ini yang saya selalu katakan, bermain untuk negara dan bukan bermain untuk sesiapa. Apabila kita turun padang, kita membawa panji-panji negara. Jangan apabila kita bermain, orang boleh memperkotak-katikkan kita.

“Bermainlah dengan bagus dan sebaik mungkin. Keputusan itu perkara lain, tetapi apabila kita menunjukkan prestasi yang baik walaupun tidak berjaya, orang akan menghormati kita,” katanya kepada media.

Beliau berkata, komitmen dan kesungguhan pemain ketika mewakili negara perlu menjadi keutamaan bagi mengembalikan keyakinan penyokong terhadap Harimau Malaya, khususnya ketika bola sepak negara berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, kepercayaan serta sokongan penyokong juga memainkan peranan penting dalam membentuk semangat dan rasa tanggungjawab pemain untuk memberikan persembahan terbaik, sama ada bersama skuad senior atau pembangunan.

“Apabila pemain merasakan mereka mendapat sokongan negara dan rakyat, mereka akan lebih bertanggungjawab. Itu yang penting kerana sokongan berkenaan mampu menaikkan semangat pemain,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ab Ghani berkata FAM akan terus menggerakkan penganjuran kejohanan pada pelbagai peringkat bagi memastikan pembangunan bola sepak negara berjalan secara berterusan untuk masa depan negara.

Untuk rekod, skuad senior kebangsaan dijadual mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman pada 14 serta 17 November ini di Stadium Zhaoqing New District Sports Center, Guangdong, China.

Sementara itu, skuad bawah 16 (B-16) tahun negara kendalian Shukor Adan bakal mengharungi cabaran Kelayakan Piala Asia B-17 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bermula Ahad ini hingga 20 November.

Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Palestin, India, Singapura dan Guam, dengan kempen itu menjadi satu lagi medan penting buat barisan pemain muda negara membuktikan kemampuan Malaysia di pentas antarabangsa. – UTUSAN

The post Beraksi demi maruah negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved