
KUALA LUMPUR - Sekumpulan individu bertopeng dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berhampiran pusat hiburan TREC di sini, sebelum melarikan diri menggunakan dua buah kenderaan.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada waktu siang itu dirakam menerusi sebuah video berdurasi kira-kira 38 saat dan boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/r/14nk42vzj9P/?mibextid=wwXIfr.
Ia turut tular di media sosial selepas dikongsikan oleh pengguna platform Threads.
Berdasarkan rakaman tersebut, beberapa individu berpakaian gelap dan memakai penutup muka dilihat memotong serta menarik kabel yang terletak di permukaan jalan berhampiran sebuah jejambat.
Selepas selesai melakukan perbuatan berkenaan, mereka kemudian melarikan diri menggunakan dua buah kenderaan berwarna hitam, masing-masing sebuah trak pikap dan sebuah kereta sedan.
Beberapa individu yang berada di lokasi turut dilihat cuba menghalang kenderaan terbabit dengan membaling kon trafik ke arahnya. Bagaimanapun, tindakan itu gagal menghalang kumpulan berkenaan daripada meloloskan diri.
Pengguna Threads yang berkongsi rakaman tersebut mendakwa, kegiatan tersebut dilakukan secara terbuka meskipun terdapat orang awam di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, lokasi tepat dan waktu kejadian serta identiti individu yang terlibat masih belum dapat dipastikan. - Getaran, 21 November 2026






