TAIPING – Tiga gajah Asia, Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka dilaporkan berada dalam keadaan sihat dengan peningkatan berat badan yang konsisten.
Berdasarkan rekod pemantauan kesihatan terkini, Kelat menunjukkan peningkatan berat sebanyak 440 kilogram daripada 2,360 kilogram kepada 2,800 kilogram, diikuti Dara yang meningkat 215 kilogram (1,985 kilogram kepada 2,200 kilogram) serta Amoi bertambah 200 kilogram (1,280 kilogram kepada 1,480 kilogram).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, perkembangan tersebut mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian haiwan yang baik, selain kebajikan yang berada pada tahap tinggi serta mematuhi amalan terbaik pengurusan haiwan liar dalam kurungan.
"Sebagai langkah proaktif, MPT akan menyediakan laporan berkala secara mingguan berhubung keadaan Dara, Amoi dan Kelat berdasarkan maklumat rasmi daripada Zoo Tennoji.
"Laporan ini akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Rabu.
**media[3512661]**
Beliau berkata, ketiga-tiga gajah berkenaan kini dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar dan penjaga haiwan berpengalaman (mahut), meliputi aspek kesihatan fizikal, pemakanan, tingkah laku serta persekitaran habitat.
Katanya, kemudahan habitat yang disediakan turut menepati piawaian antarabangsa termasuk ruang mencukupi, sistem penjagaan harian terancang serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan.
"MPT akan terus berhubung dengan pihak pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Akmal menjelaskan ketiga-tiga gajah berkenaan ditempatkan di zoo tersebut di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dimeterai antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji pada 19 Mei serta 6 Oktober 2022.
Ujar beliau, perjanjian tersebut adalah bagi tempoh 25 tahun dan program seumpamanya telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia.
"Semua pihak disaran merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan, percanggahan fakta dan persepsi yang tidak tepat berhubung kebajikan Dara, Amoi dan Kelat," katanya.






