SHAH ALAM - Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tampil mempamerkan siri foto tiga gajah dari Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang didakwa hidup dalam keadaan baik di bawah jagaan mereka.
Hantaran dalam bahasa Jepun itu dibuat di laman web tennojizoo.jp pada Ahad lepas ketika kebimbangan rakyat Malaysia semakin memuncak terhadap keadaan ketiga-tiga gajah terbabit yang dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari ke zoo berkenaan pada 11 Mac lalu.
Zoo tersebut memperkenalkan DAK kepada pengunjung selepas ia mula dipamerkan kepada umum sejak 21 April.
**media[3512250]**
Menurut pihak zoo, Kelat berusia 20 tahun digambarkan sebagai gajah yang tegas tetapi manja serta gemar bersama dua gajah betina lain walaupun kebiasaannya gajah jantan seusianya hidup bersendirian.
“Sepanjang sebulan lalu, Kelat dilihat sebagai gajah yang tegas, namun pada masa sama sedikit manja seperti kanak-kanak.
"Difahamkan, gajah Asia jantan pada usia sebegini kebiasaannya hidup bersendirian dan tidak berada dalam kumpulan. Justeru, di kandang gajah Zoo Tennoji, kami mempunyai sebuah rumah gajah khas yang membolehkan gajah jantan tinggal secara bersendirian," katanya.
**media[3512249]**
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.
Menurut zoo berkenaan, ketiga-tiga gajah kini ditempatkan bersama dalam ruang khas selepas perbincangan dengan kakitangan dari Malaysia.
**media[3512251]**
Zoo Tennoji menggambarkan Dara yang berusia 14 tahun sebagai gajah yang berhati-hati dan bertanggungjawab, selain sering memerhati keadaan sekeliling serta menjaga Amoi seperti kakak melindungi adiknya.
“Kami pasti Dara sendiri berdepan banyak keresahan apabila berada dalam persekitaran baharu. Namun, setiap kali kami melihatnya menjaga Amoi, tidak terkira berapa kali kami berbisik dalam hati, ‘Terima kasih, Dara'," menurut zoo berkenaan.
**media[3512252]**
Sementara itu, Amoi yang berusia 9 tahun pula digambarkan sebagai gajah muda yang aktif, suka bermain pasir, mandi lumpur dan gemar ‘menghias’ badannya dengan rumput kering.
“Keistimewaan terbesar Amoi sudah tentu terletak pada sifatnya yang polos dan gemar meneroka. Amoi juga masih sangat muda serta amat suka bermain," katanya.
Menurut zoo berkenaan, Amoi juga bijak mencari peluang mendapatkan makanan kegemarannya lebih cepat sebelum diambil oleh Kelat dan Dara.
Dalam hantaran sama, pihak zoo memaklumkan mereka masih belajar mengenai penjagaan gajah daripada kakitangan Malaysia yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan haiwan itu.
Zoo Tennoji turut menyatakan rasa kagum dengan tahap kemahiran tinggi kakitangan Malaysia yang telah bekerja dengan gajah selama bertahun-tahun.
"Pasukan gajah baharu kami juga sedang bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan pergerakan gajah yang sangat aktif. Kami sedar masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
"Namun begitu, kami berharap anda semua akan terus menyokong kehidupan baharu kami bersama gajah-gajah ini dalam jangka panjang, dan kami akan terus berusaha agar anda dapat merasai komitmen tersebut," kongsi hantaran itu.
Zoo itu turut berkongsi detik menyentuh hati apabila ketiga-tiga gajah berkenaan dilihat tidur berdekatan antara satu sama lain pada malam pertama mereka ditempatkan bersama di kandang baharu.
Menurut mereka, gajah biasanya hanya akan baring dan tidur apabila berasa selamat di persekitaran tersebut.
“Apabila melihat keadaan itu, kami benar-benar terharu dan tidak dapat berhenti tersenyum,” menurut hantaran berkenaan.






