
Berat Badan Naik Mendadak, Ini 5 Tanda Tahap Kortisol Anda Tinggi
Dalam kehidupan seharian, kebanyakan orang tidak dapat lari daripada tekanan atau stres.
Sama ada disebabkan beban kerja, masalah kewangan, kurang tidur atau rutin harian yang terlalu sibuk, semua ini boleh memberi kesan kepada keadaan fizikal dan emosi seseorang.
Apabila tekanan berpanjangan berlaku, badan sebenarnya akan memberi pelbagai isyarat sebagai tanda bahawa ada sesuatu yang tidak seimbang dalam sistem tubuh.
Hari ini, SK ingin kongsikan mengapa penting untuk mengetahui apa itu kortisol serta beberapa tanda yang menunjukkan tahap hormon ini mungkin terlalu tinggi dalam badan.
Apa itu kortisol?
Menurut Cleveland Clinic, kortisol ialah sejenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal dan sering dikenali sebagai hormon stres.
Hormon ini memainkan peranan penting dalam tubuh, antaranya membantu mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah, metabolisme serta tindak balas badan terhadap tekanan.
Dalam keadaan normal, paras kortisol akan meningkat pada waktu pagi untuk membantu badan lebih bertenaga, kemudian menurun secara beransur-ansur sepanjang hari.
Namun, apabila seseorang mengalami tekanan berpanjangan atau ketidakseimbangan hormon, paras kortisol boleh menjadi terlalu tinggi.
Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan emosi.
Berikut merupakan lima tanda yang mungkin menunjukkan tahap kortisol dalam badan anda berada pada paras tinggi.
Bukan Sebab Makan Je, Ketahui 4 Jenis Perut Buncit & Maksudnya
5 Cara Tidur Semula Jika Sering Terjaga Tengah Malam
1. Pertambahan berat badan
Menurut portal BBC Science Focus, salah satu petunjuk paras kortisol anda tinggi ialah pertambahan berat badan, terutamanya di bahagian perut.
Kortisol mempengaruhi tempat lemak disimpan dalam badan. Apabila parasnya tinggi, lebih banyak lemak cenderung terkumpul di kawasan tersebut.
Keadaan ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita, walaupun perbezaan hormon mungkin mempengaruhi sejauh mana dan di bahagian mana lemak itu terkumpul.
Namun begitu, kortisol yang tinggi bukan satu-satunya punca. Pemakanan, gaya hidup, faktor genetik serta ketidakseimbangan hormon lain seperti rintangan insulin juga memainkan peranan.
Selain lemak di perut, tanda lain termasuk pengumpulan lemak di bahagian belakang leher dan bahu yang sering dipanggil buffalo hump, serta wajah yang kelihatan lebih bulat dan bengkak.

2. Keletihan dan masalah tidur (insomnia)
Walaupun badan terasa penat, portal BBC Science Focus menjelaskan bahawa individu yang mempunyai paras kortisol tinggi sering mengalami kesukaran untuk tidur.
Secara normal, kortisol mempunyai kitaran harian (diurnal) di mana parasnya paling tinggi pada waktu pagi dan akan menurun secara beransur-ansur sepanjang hari.
Difahamkan, jika kitaran ini terganggu, corak tidur juga boleh terjejas.

3. Tekanan darah dan paras gula meningkat
Portal BBC Science Focus turut menjelaskan bahawa kortisol membantu mengawal tekanan darah dan paras gula dalam darah.
Jika parasnya kekal tinggi dalam tempoh yang lama, kedua-duanya boleh meningkat dan seterusnya meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi serta diabetes.

4. Perubahan emosi
Menurut portal BBC Science Focus, kortisol sering dikenali sebagai hormon stres.
Paras yang tinggi boleh menyebabkan perubahan emosi seperti kebimbangan, kemurungan dan mudah marah.
Difahamkan, ini kerana kortisol boleh mempengaruhi neurotransmiter di dalam otak seperti serotonin dan dopamin.

5. Tulang menjadi lemah
Paras kortisol yang tinggi secara kronik boleh menyebabkan otot menjadi semakin lemah dan ketumpatan tulang menurun.
Portal BBC Science Focus menjelaskan bahawa keadaan ini meningkatkan risiko osteoporosis, terutamanya dalam kalangan wanita selepas menopaus.



