‘Berat dugaan kali ini’ – Awie gagahkan diri hibur 20,000 peminat

LocalMusic
13 Sep 2026 • 3:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Berat dugaan kali ini’ – Awie gagahkan diri hibur 20,000 peminat

KUALA LUMPUR – Diuji sakit tekak dan serangan bronkitis kali kedua akibat jerebu melanda negara sejak beberapa minggu lalu, penyanyi Datuk Awie tetap menggagahkan diri menghiburkan 20,000 peminat menerusi konsert Awie Rock King Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, malam tadi.

Ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, keadaan cuaca berjerebu memberi kesan terhadap sistem pernafasannya sehingga mengakibatkan paru-parunya mengalami gangguan.

“Cuaca berjerebu agak teruk sehingga menyebabkan saya mengalami bronkitis (keradangan) kali kedua. Apa pun, ‘show must go on’ (persembahan mesti diteruskan).

“Berat sungguh dugaan kali ini. Apa pun, saya pasrah dan kita teruskan juga dengan apa sahaja daya ada. Insya-Allah, saya akan habiskan persembahan malam ini dengan baik. Doakan saya,” katanya.

Sepanjang persembahan, Awie tetap memberikan tenaga maksimum meskipun suaranya kedengaran serak pada beberapa bahagian lagu.

Dia turut beberapa kali memegang tekak, memperlihatkan keperitan ditanggung ketika beraksi di pentas.

Konsert hampir empat jam itu menampilkan 36 lagu menerusi lima segmen, termasuk Kita Bersama, Legasiku, Cinta dan Filem, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) serta Tribute To Anak Seni Yang Telah Tiada.

Persembahan turut disokong lima kumpulan muzik dan lebih 20 pemuzik profesional, termasuk Man Kidal, Eddie XPDC, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Yan Lefthanded, Shah Slam dan Naimi Daini di posisi dram, selain Fly Halizor dan Ritz Metalasia.

Barisan pemuzik tersebut diketuai pemain gitar terkenal, Aznan Alias selaku pengarah persembahan.

Antara momen mencuri perhatian apabila Awie membuat kejutan dengan menyampaikan lagu Maharani khas buat isterinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-10.

Pertemuan semula Awie bersama Erra Fazira turut mengimbau nostalgia perjalanan seni mereka suatu ketika dahulu.

Namun, Awie sempat berseloroh enggan menyanyikan lagu Tragedi Oktober kerana karya berkenaan sering dikaitkan dengan gosip percintaan mereka.

Sepanjang mengalunkan 36 lagu, persembahan Awie turut diserikan dengan kemunculan Hattan, Black, Akim, Stacy, Amir Masdi, Merah dan Hannah Delisha sebagai penyanyi jemputan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Berat dugaan kali ini’ – Awie gagahkan diri hibur 20,000 peminat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved