Berat susah turun, emosi tak stabil? Ini punca tersembunyi kortisol tinggi dan cara diet seimbang bantu pulihkan badan

Health & Fitness
20 Apr 2026 • 5:44 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Berat susah turun, emosi tak stabil? Ini punca tersembunyi kortisol tinggi dan cara diet seimbang bantu pulihkan badan

Ramai wanita hari ini berdepan rutin yang tidak pernah berhenti, antara tuntutan kerjaya, mengurus keluarga dan dalam masa yang sama cuba menjaga kesihatan diri.

Namun di sebalik kesibukan itu, ada yang mula menyedari perubahan pada tubuh seperti berat badan sukar turun, tidur tidak lena, emosi tidak stabil dan keletihan berpanjangan.

Keadaan ini sering disalah anggap sebagai kurang disiplin atau sekadar masalah pemakanan.

Hakikatnya, ia mungkin berpunca daripada sesuatu yang lebih mendalam iaitu ketidakseimbangan hormon, khususnya hormon stres yang dikenali sebagai kortisol.

Daripada sini, muncul pendekatan diet kortisol yang semakin mendapat perhatian kerana melihat kesihatan wanita secara lebih menyeluruh.

Menurut Pengarah perubatan di Klinik Dr Hannani dan She Clinic, Dr. Hannani Kamarudin, tekanan kronik boleh memberi kesan besar kepada tubuh, terutama apabila hormon kortisol kekal tinggi dalam tempoh yang lama.

“Tekanan kronik boleh memberi kesan besar kepada tubuh, terutama apabila hormon kortisol kekal tinggi dalam tempoh yang lama,” jelas beliau.

Keadaan ini boleh mencetuskan pelbagai perubahan dalam badan, antaranya pengumpulan lemak di bahagian perut, gangguan kitaran haid, masalah tidur, keletihan melampau serta emosi yang mudah terganggu.

Image from: Berat susah turun, emosi tak stabil? Ini punca tersembunyi kortisol tinggi dan cara diet seimbang bantu pulihkan badan

Lebih membimbangkan, ramai wanita tidak menyedari bahawa tubuh mereka sebenarnya berada dalam “mod stres” berpanjangan, sekali gus menyukarkan usaha menurunkan berat badan walaupun sudah mencuba pelbagai jenis diet.

Beliau yang juga serta jurulatih kesihatan professional untuk cortisol diet memberitahu, jika diet konvensional menekankan soal kiraan kalori, berbeza pula dengan diet kortisol yang mengambil pendekatan yang lebih holistik.

Ia bukan sekadar apa yang dimakan, tetapi bagaimana seseorang itu hidup setiap hari.

"Pendekatan ini memberi fokus kepada beberapa aspek penting termasuk pemakanan yang menyokong sistem saraf, pengurusan tekanan, kualiti tidur serta rutin harian yang lebih seimbang.

"Matlamat utamanya adalah untuk “menenangkan” tubuh daripada tekanan berpanjangan dan mengembalikannya kepada keadaan semula jadi yang lebih stabil," kongsinya lagi.

Keseimbangan semula jadi

Apabila hormon kembali seimbang, perubahan positif mula dirasai. Ramai wanita yang mengamalkan pendekatan ini melaporkan berat badan yang lebih mudah dikawal, tidur yang lebih berkualiti serta peningkatan tenaga sepanjang hari.

Bukan itu sahaja, kitaran haid menjadi lebih teratur dan emosi juga lebih stabil, sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Apa yang menarik, perubahan ini tidak berlaku secara ekstrem atau mendadak, tetapi secara konsisten dan lebih mampan.

Salah satu kekuatan diet ini adalah pendekatannya yang praktikal dan sesuai dengan realiti kehidupan wanita masa kini. Ia tidak menuntut perubahan drastik, sebaliknya menggalakkan penyesuaian kecil tetapi konsisten dalam rutin harian.

Daripada memperbaiki pola tidur, mengurus stres dengan lebih baik hingga memilih makanan yang menyokong keseimbangan hormon, setiap langkah disusun untuk membantu tubuh pulih secara semula jadi.

Image from: Berat susah turun, emosi tak stabil? Ini punca tersembunyi kortisol tinggi dan cara diet seimbang bantu pulihkan badan

Pendekatan tersebut memberi mesej penting bahawa kesihatan bukan tentang kesempurnaan, tetapi keseimbangan.

Dalam usaha mengejar kejayaan, ramai wanita sering mengorbankan kesihatan tanpa sedar. Namun hakikatnya, kedua-duanya boleh berjalan seiring jika tubuh berada dalam keadaan seimbang.

"Dengan memahami bagaimana hormon berfungsi dan bagaimana stres memberi kesan kepada tubuh, wanita dapat membuat pilihan yang lebih bijak bukan sahaja untuk penampilan, tetapi juga kesejahteraan jangka panjang.

Beliau turut menegaskan, diet kortisol bukan sekadar trend kesihatan, tetapi ia satu bentuk kesedaran baharu tentang pentingnya menjaga keseimbangan dalaman dalam dunia moden.

"Kaedah ini mengingatkan bahawa tubuh bukan mesin yang boleh dipaksa tanpa henti, tetapi sistem yang perlu dijaga dengan penuh kesedaran dan empati," jelasnya yang turut berkongsi maklumat menerusi Instagram Cortisol Diet Malaysia.

Dalam dunia yang sentiasa menuntut lebih, mungkin sudah tiba masanya wanita memberi ruang untuk diri sendiri untuk berehat, pulih dan kembali kuat dari dalam.