
JELITAWAN aktivis alam sekitar, Datin Kelvin Dhillon mengharumkan nama Malaysia apabila mencipta kejayaan cemerlang di Pertandingan Mrs. Earth/Ms. Earth Antarabangsa Ke-19 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Bersaing dengan peserta dari seluruh dunia, Kelvin yang merupakan bekas pramugari telah dinobatkan sebagai Mrs. Queen of Earth 2026 serta Mrs. Earth Air 2026 (Naib Juara Pertama) dalam pertandingan tersebut.
Dengan kejayaan meraih kedua-dua gelaran utama tersebut, Kelvin muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang mencipta sejarah mencapai pencapaian luar biasa itu dalam pertandingan Mrs. Earth / Ms. Earth Antarabangsa.
Beliau turut menerima dua anugerah sampingan iaitu Most Popular Queen dan Most Photogenic, sekali gus menjadi antara pemenang paling menyerlah dalam pertandingan tersebut.
Kelvin melayakkan diri mewakili Malaysia selepas dinobatkan sebagai Mrs. Elite Earth Malaysia 2025.

Di bawah bimbingan madam Ammetta Malhotra, Kelvin menggalas tanggungjawab membawa nama negara sambil mempromosikan kesedaran alam sekitar, budaya Malaysia dan khidmat masyarakat di pentas antarabangsa.
Antara tarikan utama pertandingan ialah busana kostum kebangsaan yang diinspirasikan daripada Gunung Kinabalu, melambangkan kekuatan, keindahan alam semula jadi serta kekayaan warisan budaya Malaysia.
Selain itu, Busana Eco Wear yang diperagakan oleh Kelvin turut mencuri tumpuan apabila dihasilkan daripada beg kanvas yang dikitar semula.
Rekaan kreatif dan mesra alam itu bukan sahaja menyerlahkan nilai inovasi dalam fesyen, malah membawa mesej bahawa bahan yang boleh diguna semula mampu diubah menjadi karya yang indah sambil memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Di luar pentas pertandingan, Kelvin yang menetap di Pahang sememangnya dikenali sebagai seorang aktivis yang komited terhadap pemuliharaan alam sekitar dan khidmat masyarakat.

Beliau aktif menerajui pelbagai program penanaman pokok, kempen kitar semula, aktiviti pembersihan pantai dan sungai serta projek pendidikan alam sekitar untuk kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan organisasi komuniti, Kelvin percaya bahawa usaha melindungi bumi harus bermula melalui pendidikan, kerjasama dan tindakan bersama.
Katanya, sebagai Mrs. Queen of Earth 2026, Kelvin berharap dapat memanfaatkan platform antarabangsa itu untuk terus mempromosikan kelestarian alam sekitar, memperkasa komuniti serta memberi inspirasi kepada masyarakat bahawa kecantikan sebenar bukan hanya terletak pada rupa paras, tetapi pada nilai kasih sayang, khidmat kepada masyarakat dan impak positif yang kita tinggalkan kepada dunia.
“Saya menerima semua gelaran ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati. Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga satu amanah yang lebih besar untuk terus berbakti kepada masyarakat, memberi inspirasi kepada orang ramai dan memperjuangkan pemeliharaan alam sekitar.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada suami tercinta, Datuk Jasvir Singh Chohan, anak kesayangan saya, Manvirjeet Singh Chohan, keluarga, keluarga mentua, sanak saudara, rakan-rakan, para penaja serta semua yang telah mendoakan, memberi sokongan, mengundi dan sentiasa mempercayai saya sepanjang perjalanan ini.
“Kasih sayang dan sokongan anda semua memberikan saya kekuatan untuk terus melangkah, terutamanya ketika melalui saat-saat yang paling sukar. Mahkota ini adalah milik kita bersama,” ujarnya.
The post Berbusana kreatif beg kanvas kitar semula, datin jelita dinobat Mrs. Queen of Earth 2026 appeared first on Kosmo Digital.
