PERCUTIAN suatu ketika dahulu dianggap kemewahan dinikmati segelintir golongan berada. Namun hari ini, melancong seolah-olah sebahagian gaya hidup yang sukar dipisahkan terutama dalam kalangan generasi muda.
Media sosial dipenuhi gambar percutian ke luar negara, kafe hipster dan lokasi menarik yang menjadi impian ramai. Dalam masa sama, muncul satu fenomena yang semakin membimbangkan apabila ada individu sanggup berhutang semata-mata untuk bercuti.
Kad kredit, skim Buy Now Pay Later (BNPL), pinjaman peribadi dan pembayaran ansuran menjadi antara pilihan bagi merealisasikan percutian impian. Apa yang membimbangkan, ada yang masih menanggung hutang percutian lama ketika merancang destinasi baharu.
Jika dahulu percutian dilakukan selepas mempunyai lebihan wang, kini ada yang menganggap ia keperluan walaupun kedudukan kewangan belum benar-benar stabil.
Tidak dinafikan kehidupan hari ini lebih mencabar. Tekanan kerja, peningkatan kos sara hidup dan tuntutan kehidupan harian menyebabkan ramai mencari ruang melepaskan tekanan.
Namun persoalannya, adakah ketenangan dicari itu benar-benar diperoleh jika ia dibayar dengan hutang yang perlu dilangsaikan berbulan-bulan selepas pulang bercuti?
Hakikatnya, media sosial turut memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Ramai terdedah gaya hidup yang kelihatan sempurna sehingga timbul keinginan merasai pengalaman sama.
Lebih membimbangkan apabila budaya perbandingan ini berlaku dalam keadaan ramai masih berdepan cabaran kewangan. Ada yang belum memiliki simpanan kecemasan mencukupi, namun sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk beberapa hari percutian.
Apa yang menjadi kebimbangan ialah apabila hutang digunakan untuk membiayai kehendak dan bukannya keperluan. Apabila komitmen kewangan semakin tinggi, tekanan yang cuba dielakkan melalui percutian mungkin kembali dalam bentuk yang lebih berat.
Menurut firma perunding kewangan Bluebricks Holding Sdn Bhd, kemudahan kredit seperti kad kredit, BNPL dan pinjaman peribadi yang semakin mudah diakses kini menjadi antara punca peningkatan tekanan kewangan dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana.
Ramai individu berpendapatan antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan berdepan komitmen hutang tinggi sehingga menjejaskan kedudukan kewangan mereka.
Walaupun masih mampu membuat bayaran bulanan, sebahagian mereka berada dalam kategori 'pra-ingkar', iaitu bergantung kepada bayaran minimum, pembiayaan semula atau bantuan keluarga meneruskan komitmen hutang.
Keadaan itu berlaku ketika hutang isi rumah Malaysia kekal tinggi pada kadar 84.8 peratus daripada KDNK dengan jumlah mencecah RM1.67 trilion sehingga akhir 2025.
Justeru, pakar berpandangan usaha memperkukuh literasi kewangan dan meningkatkan kesedaran mengenai risiko penggunaan kredit secara berlebihan perlu diperkasakan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terjerumus dalam masalah kewangan yang lebih serius.
Akhirnya, percutian sepatutnya menjadi ganjaran kepada kestabilan kewangan, bukannya alasan memulakan beban hutang baharu. Ketenangan sebenar bukan terletak pada destinasi yang dikunjungi, tetapi pada kemampuan untuk pulang tanpa dibelenggu komitmen kewangan yang menghantui kehidupan.
*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan
