Berebut Kawasan Sekuriti Di Tapak Perumahan Dipercayai Punca Gaduh Di Balai Polis

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 11:55 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, lima orang lelaki telah ditahan selepas bergaduh di dalam Balai Polis Meru, Klang pada 2 Mac lalu.

Jelas Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao insiden pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan lelaki tempatan di balai polis sekitar jam 9.40 malam.

Kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Mereka yang ditahan, direman selama tiga hari sehingga 5 Mac untuk membantu siasatan, lapor Buletin TV3.

Punca gaduh kerana rebut kawasan sekuriti di tapak perumahan ada kaitan dengan kongsi gelap

Terbaharu kekecohan yang berlaku di balai polis berkenaan dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan.

Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar siasatan dilakukan mendapati kesemua individu yang ditahan kenal antara satu sama lain serta ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ada pelbagai rekod jenayah

Ujarnya berdasarkan semakan mendapati sebahagian daripada yang ditahan ada pelbagai rekod jenayah seperti:

  • Kekerasan
  • Bunuh
  • Cubaan bunuh
  • Samun berkumpulan
  • Pecah rumah

Bahkan salah seorang daripada yang ditahan merupakan individu yang berada dalam senarai dikehendaki (wanted).

“Sehingga kini, lapan lelaki tempatan ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan. Tangkapan pertama seramai lima suspek berumur 28 hingga 41 tahun dan reman disambung sehingga esok. Tangkapan kedua membabitkan dua lelaki berusia antara 39 hingga 44 tahun, juga direman sehingga esok.

“Seterusnya tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki berumur 38 tahun yang direman bermula hari ini (5 Mac) hingga 7 Mac. Polis turut merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip disyaki digunakan dalam kejadian itu. Saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek juga positif dadah,” jelasnya, lapor Berita Harian.

Sewaktu pergaduhan ada yang bawah pengaruh alkohol, polis siasat perkhidmatan kawasan sekuriti sah atau tidak

Katanya hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati individu berkenaan dalam pergaduhan telah masuk ke balai terbabit dan berada di bawah pengaruh alkohol.

“Siasatan awal mendapati individu terbabit dalam pergaduhan dan masuk ke balai itu berada di bawah pengaruh alkohol. Kumpulan pertama datang membuat laporan polis berkaitan pertelingkahan kawasan sekuriti, ada rasa tidak puas hati. Kemudian datang lima lagi suspek.

“Polis sedang menyiasat sama ada sah atau tidak sah (perkhidmatan kawasan sekuriti yang dijalankan).”

Menurut beliau Balai Polis Meru adalah sebuah balai yang berada di kawasan lot kedai serta tidak mempunyai pagar mahupun kawalan sentri seperti yang ada di sesetengah balai lain.

“Rumah kedai ini agar terhad, tiada pagar, ada pintu hadapan dan terus ke kaunter pertanyaan. Di situlah salah satu kelemahan yang kami akan usaha perbaiki dan kemaskan supaya balai-balai polis yang bersifat rumah kedai ini dipertingkatkan aspek kawalan keselamatannya pada masa depan,” ujarnya lagi.

Menteri Dalam Negeri sifatkan kes terpencil & bukan serangan kepada balai polis

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pergaduhan di dalam balai itu adalah satu kes terpencil dan melibatkan dua buah kumpulan.

Justeru, adalah tidak wajar untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di balai polis.

Jelas beliau, apa yang berlaku berbeza dengan dakwaan di media sosial kononnya sekumpulan lelaki menyerang balai polis berkenaan.