KOTA KINABALU - Perebutan pelanggan dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan beberapa individu di hadapan sebuah reruai pelancongan di kawasan Jesselton Point di sini sebelum rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Ahad itu, perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan dilaporkan bertukar tegang sehingga mencetuskan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan berhubung perebutan pelanggan.
"Pergaduhan tersebut telah menyebabkan tindakan membaling kerusi sehingga mengakibatkan kerosakan pada harta benda milik pihak lain di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Susulan kejadian itu beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pengusaha reruai yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam.
"Setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh individu yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
"Namun rakaman video insiden berkenaan telah tular di laman sosial Facebook," katanya.
Sehubungan itu, Syed Lot berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
"Usaha mengesan serta mengenal pasti individu yang terlibat sedang giat dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 45 saat memaparkan pergaduhan dua individu saling membaling kerusi di kawasan Jesselton Point di sini.



