Lima ditahan kes ugut, pecah kenderaan guru

29 Mar 2026 • 12:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sekumpulan lelaki bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan di tepi jalan pusat bandar Kota Kinabalu.
image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan dikerumuni sekumpulan lelaki yang bertindak memukul cermin kereta di tepi jalan pusat bandar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang guru berdepan detik cemas apabila cermin kenderaannya dipecahkan selain mendakwa diugut sekumpulan lelaki selepas berlaku perselisihan faham dalam kejadian di kawasan pusat bandar di sini pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu turut tular di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, video tular berkenaan memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan.

Menurutnya, semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh pengadu iaitu lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sebagai guru berhubung kejadian tersebut selepas menghadiri satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengadu menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran sebuah gudang di Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum berhadapan dengan beberapa individu yang dipercayai pekerja premis berkenaan.

"Dalam kejadian itu, berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang dan menyebabkan pengadu mengundurkan kenderaannya lalu secara tidak sengaja terlanggar sebuah kenderaan lain.

"Susulan itu, beberapa individu telah mengejar kenderaan pengadu dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan. Pengadu turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

**media[3475134]**

Syed Lot berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya menjalankan operasi segera sebelum berjaya menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

"Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Polis memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah kenderaan dikerumuni sekumpulan lelaki yang bertindak memukul cermin kereta di tepi jalan di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu.