Bergson sindir ‘sinetron’ aksi Indonesia-Bangladesh

LocalFootball
3 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bergson sindir ‘sinetron’ aksi Indonesia-Bangladesh

PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva mengakui seperti tidak percaya dengan ‘drama’ Piala ASEAN FIFA 2026 yang dilihat seperti memihak kepada tuan rumah, Indonesia selepas gagal layak ke final.

Menurut Bergson menerusi laman komen di Instagram, perubahan masa tambahan aksi Indonesia menentang Bangladesh mencetuskan persoalan apabila tuan rumah berjaya meledak dua gol dalam tempoh dua minit pada masa tambahan untuk menang 9-2.

Penyerang kelahiran Brazil itu turut menyindir keputusan masa tambahan yang pada awalnya dua minit sebelum berubah kepada tujuh minit sehingga memberi kelebihan buat Sang Garuda.

“Dua minit masa tambahan, kemudian tiba-tiba ditukar kepada tujuh minit dan mereka menjaringkan dua gol terakhir dalam masa satu minit. Apa yang berlaku?.

“Seluruh perlawanan (Indonesia) dimainkan pada waktu malam di Jakarta, manakala pasukan negara lain bermain di Bandung pada sebelah petang dengan dua hari untuk pulih.

“Pada perlawanan kali ini (menentang Bangladesh), mereka mendapat dua minit masa tambahan, kemudian tiba-tiba menjadi tujuh minit.

“Mereka menjaringkan dua gol dalam dua minit terakhir masa tambahan. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?” kata Bergson yang berjaya meledak jaringan hatrik untuk membantu pasukan menewaskan Singapura 6-0, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri apabila turut mempersoalkan perubahan tempoh masa tambahan ketika aksi Indonesia menentang Bangladesh.

FAM memandang serius perkara berkenaan dan akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas serta prosedur yang membawa kepada perubahan tersebut.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pengurusan masa permainan merupakan elemen penting bagi memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan mengikut peraturan pertandingan.

“Permohonan tersebut bukan cubaan untuk mempertikaikan keputusan perlawanan atau pencapaian mana-mana pasukan.

“Sebaliknya, ia bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan supaya persoalan yang timbul dapat diperjelaskan dan tidak menimbulkan kekeliruan,” kata FAM.

The post Bergson sindir ‘sinetron’ aksi Indonesia-Bangladesh appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved