
PONTIAN – Seorang pesara Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) sanggup menghabiskan kira-kira RM1,000 setiap tahun semata-mata untuk menghiasi kediamannya dengan ratusan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Lebih menarik, rumah milik Saidon Miad, 70, di Kampung Parit Selangor itu tidak hanya dihiasi Jalur Gemilang pelbagai saiz, malah turut dilengkapi landskap bunga.
Saidon yang pernah berkhidmat di bahagian Khidmat Am Landskap mengakui, persiapan menghias rumah sudah menjadi rutin keluarganya setiap kali tibanya bulan kemerdekaan.
“Setiap tahun kami sekeluarga akan menghias rumah lama ini seperti persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah, kami cukup teruja dan gembira apabila tiba Bulan Kemerdekaan kerana rumah ini akan kelihatan lebih ceria dengan kibaran Jalur Gemilang,” katanya yang dibantu anaknya, Rizuan, 35 sejak seminggu lalu.
Saidon berkata, dia menggunakan pengalaman sepanjang lebih 30 tahun dalam bidang landskap untuk menceriakan kawasan kediaman tersebut.
“Saya tidak mahu ilmu dan kemahiran yang ada ‘berkarat’, sebab itu saya turut turunkan ilmu kepada Rizuan yang kini menjalankan khidmat nasihat berkaitan pembinaan landskap di rumah, bangunan awam dan sebagainya,” ujarnya.
Menurut Saidon, walaupun semua kos menghias rumah ditanggung sendiri, dia berpuas hati apabila kediamannya menjadi perhatian orang ramai yang melalui jalan berkenaan menuju ke Kayu Ara Pasong, Parit Basilam dan Parit Haji Adenan.
“Ramai yang memuji usaha kami. Ada yang sanggup turun dari kereta untuk melihat kawasan rumah dan tidak kurang juga yang bergambar serta berswafoto.
“Bagi saya, itu satu kepuasan kerana apa yang dilakukan bukan sahaja menggembirakan keluarga, tetapi dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
The post Berhabis RM1,000 hias rumah dengan Jalur Gemilang appeared first on Kosmo Digital.



