
SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan rangkaian pengedaran dadah selepas menahan tiga suspek selain menemui dua butir bom tangan asap dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gemilang Indah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 6.40 petang itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 47 tahun.
“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada rampasan dadah disyaki jenis heroin, methamphetamine dan ganja. Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kabinet dapur rumah tersebut telah menemui sebuah kotak besi yang mengandungi dua butir bom tangan asap,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, bertindak atas maklumat lanjut, polis kemudian menjalankan serbuan susulan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 46 tahun.
Katanya, semakan mendapati suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama mempunyai satu rekod kesalahan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tangkapan pertama lelaki warga tempatan positif ganja, manakala tangkapan kedua dan ketiga masing-masing negatif terhadap penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kereta, lima motosikal, tiga cincin emas dan wang tunai RM5,700, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM303,400.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Julai hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah serta pemilikan bahan letupan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bongkar sindiket dadah, jumpa bom tangan asap appeared first on Kosmo Digital.






