
KUALA LUMPUR: Menyedari pelbagai kecaman diterima aktor pementasan teater Mansur dan Liu, Aliff Aziz, penyanyi dan pelakon teater, Fiza Thomas, memohon supaya tiada mana-mana pihak tergamak menyimpan hasrat untuk mencuba menutup pintu rezekinya.
Pandangan itu dikongsikan Fiza susulan wujud segelintir peminat yang mendakwa mahu memboikot teater muzikal Mansur dan Liu disebabkan penglibatan artis berkenaan.
Fiza atau Nur Hafizah Longkip Thomas, 33, berkata, sepanjang 25 hari bekerjasama dalam sesi latihan teater berkenaan, dia melihat Aliff Aziz sebagai seseorang yang bersungguh-sungguh dan kerap bertanyakan soalan untuk memperbaiki lakonannya.
“Kami sudah 25 hari bekerjasama dengan Aliff Aziz. Bagi Fiza, janganlah kita menghukum dia sampai menutup pintu rezekinya hanya disebabkan kisah lampau.
“Saya sudah bertemu dengan dia dan Aliff banyak bertanya bagaimana mahu menjadi pelakon teater muzikal serta apa perkara yang perlu dijaga,” katanya.
Fiza berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media EP Rayakan Dia, di BSYNC Hall, di sini, semalam.
Menurut Fiza, mereka tidak sepatutnya terus menilainya berdasarkan kontroversi artis berkenaan, tetapi perlu melihat kesungguhan yang ditunjukkannya.
“Bagi Fiza, berilah dia peluang kerana dia sebenarnya sangat hebat dalam teater muzikal ini.
“Saya tidak mengikut perkembangan kisah sensasinya, tetapi saya melihat dia sebagai seorang yang betul-betul mahu belajar,” katanya.
Mengulas desakan boikot daripada sesetengah pihak di media sosial, bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu mendedahkan Aliff tenang menghadapi kecaman dan tidak cepat melatah.
Malah, Aliff kerap ketawa apabila membaca komen-komen berkenaan bersama rakan-rakan di lokasi latihan.
“Bila kami bergurau, dia ada tunjuk telefon dan gelak sahaja membaca komen netizen. Dia cuma cakap ‘okey sahaja hari ini’ dengan bersikap santai.
“Mungkin di luar dia nampak senyum dan okey, tetapi dalam hati kita tidak tahu. Perkara seperti ini melibatkan kesihatan mental, jadi orang sekeliling kena sentiasa jaga,” katanya.
Untuk rekod, Teater muzikal Mansur & Liu dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 20 September 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Mengenai mini albumnya, Rayakan Dia menghimpunkan empat buah lagu iaitu Tirai, Manusia Pertama, Penamat Cerita? dan Wahai Dia iaitu hasil nukilannya sendiri di bawah nama pena Fitho.
The post Beri Aliff Aziz peluang, jangan hukum dia – Fiza Thomas appeared first on Utusan Malaysia.






