Beri geran bantuan, Selangor panggil pengusaha inap desa jalani pemutihan

21 Feb 2025 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Negeri akan memanggil semua pengusaha inap desa atau homestay untuk mengikuti proses pemutihan bagi membolehkan mereka menerima geran bantuan.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah itu akan dilaksana Tourism Selangor bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Di seluruh Selangor hanya ada 16 homestay yang mendapat penarafan oleh Motac… beratus lagi tiada penarafan kerana gagal mematuhi kriteria ditetapkan dan tidak memohon lesen.

“Oleh itu, kita akan panggil pengusaha homestay untuk sertai proses pemutihan selain bantu mereka supaya mendapat penarafan daripada Motac. Apabila mendapat penarafan, mereka akan dapat geran sebagai galakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

image is not available
EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim menjawab soalan dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke 15 pada 21 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sabak Sallehen Mukhyi berkaitan penarafan bintang bagi setiap inap desa, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri bersedia melaksanakannya demi keselamatan pelancong.

“Penarafan bintang bagi setiap homestay mengikut kemudahan seperti kolam renang kerana ia beri keseronokan kepada pelancong yang hadir ke Selangor.

“Berikutan itu, Motac dan Tourism Selangor akan teliti dengan baik setiap homestay ini demi keselamatan pengunjung termasuk memberi perkhidmatan lebih baik,” katanya.