KUALA KUBU BHARU, 9 FEB: Kehadiran pelancong luar negara ke Selangor merekodkan peningkatan lima peratus selepas pelancaran Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025, kata EXCO Pelancongan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata secara purata kehadiran pelancong antarabangsa adalah 30 peratus pada 2023, namun menunjukkan kenaikan Disember lalu.
“Sebenarnya kita jangka kehadiran pelancong tempatan 70 peratus dan luar negara 30 peratus. Tetapi pada Disember lalu, kita tengok ada peningkatan kepada 35 peratus.

“Jika trend ini berterusan, kita yakin pelancong antarabangsa juga dapat menyaingi dengan kehadiran pelancong tempatan sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian Pesta Joran 2025 di Tasik Fraser Valley di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata Pesta Joran 2025 menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 710 pemancing berbanding sasaran 500 peserta.
Menurutnya, program dengan kerjasama swasta itu membuktikan aktiviti memancing mendapat tempat dan berpotensi menjadi tarikan pelancong.
“Kita terkejut dengan sambutan yang amat baik daripada pemancing. Ini membuktikan memancing mendapat perhatian dan berpotensi untuk tarik pelancong luar,” katanya.
Pesta Joran 2025 menawarkan hadiah keseluruhan RM20,000 dengan yuran penyertaan RM50.

The post EXCO: Pelancong antarabangsa ke Selangor meningkat lima peratus pada 2024 appeared first on Selangorkini.

