Beri Kenyataan Kontroversi, Hadi Awang Tiba Di IPD Sentul Untuk Dirakam Percakapan

Politics
5 Dec 2022 • 3:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Abdul Hadi Awang ketika tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 3 petang tadi - Gambar oleh Fitri Nizam

KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk diambil keterangan, sebentar tadi.

Beliau tiba kira-kira jam 3 petang dengan diiringi anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan bekas Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Parlimen Bachok, Muhammad Syahir Che Sulaiman.

Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.

Beliau turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sebagai "tidak bermoral".

Ahli Parlimen Marang itu juga menggunakan analogi bola sepak untuk menyindir  Yang di-Pertuan Agong.

Antara lain, Hadi menerusi analogi tersebut dipetik sebagai berkata, walaupun satu pasukan itu menang, pengadil ‘tiba-tiba memberi masa tambahan’ dan memberi peluang kepada pasukan kalah "untuk menang dengan apa cara sekalipun".

Penulisan berkenaan dimuatnaik di akaun Facebook dan Twitter miliknya pada minggu lalu.

Susulan insiden, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Raudhatul Muslimin membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan tidak sejajar ajaran Islam, selain boleh mengganggu ketenteraman awam.

Raudhatul Muslimin turut menuduh Abdul Hadi tidak menghormati Perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong. - Getaran, 5 Disember 2022