Beri Pendedahan, KBS Rancang Hantar Atlet Pelapis Ke Lebih Banyak Kejohanan Antarabangsa

27 Sep 2024 • 9:46 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggandakan usaha untuk hantar atlet pelapis ke kejohanan antarabangsa dengan harapan mereka boleh mendapatkan pendedahan dan pengalaman yang sangat diperlukan.

Memetik laporan Bernama, Menteri KBS Hannah Yeoh berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai cara meningkatkan pembiayaan bagi sukan dan menggalakkan sektor korporat untuk melabur dalam bidang itu.

KBS rancang hantar atlet pelapis ke kejohanan antarabangsa

image is not available

Foto: Bernama

Beliau berkata ada sebilangan atlet terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri untuk bertanding dalam kejohanan di luar negara semata-mata mahu mendapatkan pendedahan agar mampu bersaing dengan lebih baik ketika menggalas cabaran negara di persada antarabangsa.

Hannah berkata demikian ketika menyambut kepulangan skuad tenpin boling negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis selepas mencipta kemenangan bersejarah pada kejohanan Asia ke-27 (ATBC) di Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada skuad negara atas kemenangan bergaya di ATBC dengan membawa pulang lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa pada kejohanan itu.

image is not available

Foto: Harian Metro

Pada masa yang sama, Hannah juga berkata Majlis Sukan Negara telah memperuntukkan sejumlah RM457,700 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada para atlet yang berjaya.

Beliau berkata setiap atlet akan menerima jumlah yang berbeza dengan penerima terbesar ialah Muhammad Rafiq Ismail, diikuti oleh Si Li Jane yang masing-masing berjaya meraih empat dan tiga pingat emas.

Sumber: Bernama